PETALING JAYA: Polis mengesahkan tiga mangsa termasuk seorang wanita cedera akibat rempuhan dua kenderaan di luar sebuah pusat hiburan di sini, Jalan Klang Lama dekat sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, kesemua mangsa tersebut merupakan warga tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun.
“Seorang mangsa lelaki yang cedera dihantar dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun sudah dibenarkan keluar selepas selesai rawatan.
“Dua lagi mangsa termasuk seorang wanita hanya mengalami luka-luka ringan dan tidak dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ku Mashariman berkata, setakat ini seramai lima suspek direman antara lima hingga tujuh hari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” katanya.
Terdahulu media melaporkan beberapa individu cedera selepas dirempuh dua kenderaan jenis Toyota Vios dan pacuan empat roda, Hilux dalam kejadian kira-kira pada 6.18 pagi, Rabu lalu.
Ku Mashariman dilaporkan berkata, dua kenderaan itu keluar dari sebuah bangunan tempat letak kereta dan dipandu secara melulu di hadapan Kelab Top Plus di Jalan Klang Lama di dekat sini.
Katanya, kenderaan terbabit telah melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan sekurang-kurangnya dua orang mengalami kecederaan dengan seorang mangsa dihantar ke hospital dengan ambulans.
Susulan itu, seramai lima individu ditahan manakala tiga lagi diminta tampil menyerah diri kepada pihak polis.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan kejadian itu bukan kes ‘kemalangan biasa’, sebaliknya ia jelas bermotifkan jenayah.
“Insiden ini adalah serius. Kita lihat dalam video (yang tular), itu bukan kemalangan biasa. Nampak macam dia (suspek) ‘ramp’ (tekan minyak) untuk tujuan bunuh.
“Biar pihak polis lakukan siasatan… saya turut difahamkan tangkapan sudah dibuat. Pihak polis juga akan buka kertas siasatan segera,” katanya.- UTUSAN