BUKIT MERTAJAM : Penunggang motosikal yang ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dalam Op Khas Tahun Baharu Cina (Op Khas TBC) 2025 malam tadi didapati positif dadah jenis methamphetamin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, ketika ini, lelaki itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini.
“Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, penunggang motosikal yang berusia 50 tahun itu berang kerana motosikal disita selepas pemeriksaan mendapati, Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan itu telah tamat tempoh.
Suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap beberapa anggota penguatkuasa semasa operasi berlangsung di laluan motosikal Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, malam tadi.
Walaupun cuba ditenangkan oleh teman wanitanya yang juga seorang warga Indonesia, lelaki itu dikatakan terus melakukan provokasi dan enggan memberikan kerjasama ketika diminta untuk berbuat demikian.-UTUSAN