PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas aset dan barangan bernilai lebih RM2.86 bilion dalam operasi besar-besaran sisa elektronik (e-waste) menerusi Op Hazard, yang dilancarkan pada 15 Februari lalu.
Dalam operasi yang mensasarkan 47 lokasi di seluruh negara, seramai 246 individu termasuk warga tempatan dan asing dari tujuh negara ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan yang dijalankan itu menumpaskan sindiket yang terlibat dalam aktiviti jenayah berat serta pelanggaran undang-undang negara.
“Hasil serbuan, kita (polis) telah menahan ratusan individu yang kini disiasat mengikut pelbagai seksyen undang-undang termasuk Akta Senjata Api 1960, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024).
“PDRM juga menumpaskan fasiliti haram berkaitan e-waste yang beroperasi secara tidak sah di beberapa lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, PDRM turut mengesan satu video berdurasi tiga minit 44 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok dengan memanipulasi fakta berkaitan operasi tersebut hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Azmi turut menegaskan bahawa pihak berkuasa sentiasa memastikan kawalan sempadan berada pada tahap tertinggi bagi mengekalkan keselamatan negara.
“PDRM memberi jaminan bahawa kawalan sempadan diketatkan dengan penguatkuasaan bersepadu berdasarkan undang-undang sedia ada,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau berkata, masyarakat dinasihatkan agar berhati-hati dalam menghasilkan dan menyebarkan kandungan di media sosial yang boleh mencetuskan keresahan awam. – UTUSAN