PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merakam percakapan seramai 15 rakyat Malaysia yang baru tiba di negara ini selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua mangsa tiba di negara ini kira-kira pukul 2.30 petang hari ini telah selamat tiba di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Katanya, kesemua mereka diserahkan kepada pihak polis bagi membantu proses siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
“Semua 15 orang warga Malaysia tersebut akan menjalani proses pengenalpastian mangsa mengikut Garis Panduan Kebangsaan mengenai Petunjuk Pemerdagangan Manusia (NGHTI).
“Kita merakam percakapan mereka dahulu dan proses itu dijangka selesai hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, PDRM kemudian menilai keterangan-keterangan mengikut percakapan yang telah dirakam sebelum menyerahkan mereka kepada keluarga masing-masing.
Terdahulu, media melaporkan seramai 15 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar selamat tiba di tanah air, hari ini.
Kementerian Luar dilaporkan, mereka adalah antara 261 mangsa yang diselamatkan daripada sindiket penipuan itu dan diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari lalu.
Media sebelum ini melaporkan 261 mangsa diselamatkan pihak berkuasa Myanmar di bandar sempadan KK Park dan Shwe Kokko sebelum dipindahkan ke Thailand untuk proses penghantaran pulang ke negara masing-masing.
Proses dokumentasi kemudian dilakukan pihak berkuasa Thailand sebelum menghantar proses penghantaran pulang mangsa. – UTUSAN