PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan keselamatan di pusat membeli-belah dan lokasi tumpuan orang ramai di seluruh negara susulan insiden tembakan di sebuah pusat membeli-belah di Setia Alam, Shah Alam dekat sini, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan di lokasi-lokasi ini diarahkan untuk berwaspada terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.
“Susulan kejadian semalam, polis Selangor telah mengenal pasti suspek dan pelbagai elemen polis kini sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan keberadaannya.
“Kami juga telah memaklumkan kepada pihak polis di negeri-negeri jiran serta pihak berkuasa di sempadan untuk turut berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut memberi jaminan bahawa keselamatan orang awam adalah keutamaan pihak polis dan segala usaha sedang dilakukan untuk membawa suspek ke muka pengadilan.
“Kami memahami kebimbangan yang timbul susulan kes ini, namun kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan diburu selepas melepaskan lapan tembakan di dalam sebuah pusat beli-belah di Setia Alam dekat sini malam tadi sebelum bertindak melarikan diri.
Susulan insiden tersebut, seorang lelaki telah tercedera akibat terkena tembakan di bahagian kaki, dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, suspek berusia 30-an berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod jenayah serta kesalahan berkaitan dadah.
Beliau dilapor berkata, suspek bertindak melarikan diri dari pusat beli-belah tersebut dengan menahan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu oleh seorang pengunjung pusat membeli-belah dengan mengacukan senjata api dan memaksa pemandu membawanya keluar dari Shah Alam.
“Ketika dalam perjalanan di lebuh raya, suspek mengarahkan pemandu berhenti di tepi jalan sebelum melarikan diri.
“Polis kini sedang berusaha menjejaki individu berkenaan yang dipercayai masih berada di kawasan berhampiran,” katanya.
Kes disiasat Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan yang memperuntukkan hukuman mati, serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan. – UTUSAN