Polis Perak sedia hadapi PRK DUN Ayer Kuning - Utusan Malaysia

Polis Perak sedia hadapi PRK DUN Ayer Kuning

NOOR Hisam Nordin berucap pada majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya kini menunggu pengumuman rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menggerakkan pegawai dan anggotanya untuk pemantauan dan menjaga keselamatan sepanjang proses itu berlangsung.

“Saya telah membuat mesyuarat bagi membincangkan persiapan-persiapan yang sepatutnya ada terutamanya dengan pemangku Ketua Polis Daerah Tapah.

“Benda ini (pilihan raya kecil), templatnya sama dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di mana ada penamaan calon, pusat daerah mengundi (PDM) dan saluran-saluran yang kita akan tengok walaupun itu di pihak SPR.

“Di pihak polis pula, kita akan lihat dari segi keselamatan membabitkan pengundi, lalu lintas dan ketenteraman awam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Noor Hisam menyempurnakan pemakaian pangkat Senior Asisten Komisioner kepada Zairulnizam Mohd. Zainuddin@Hilmi yang menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Kontinjen Perak.

Zairulnizam sebelum ini menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Persatuan/Syarikat), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau turut menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Hilir Perak antara Senior Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri kepada Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.

Bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Sungai Siput, jawatan Ketua Polis Daerah dipangku Deputi Superintenden Mohd. Fadzil Ismail dan Deputi Superintenden Mohd. Rohaizimi Razali bagi menggantikan Asisten Komisioner Mohd. Naim Asnawi dan Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin.

Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya, pihaknya akan menggerakkan Unit Tempur Ringan (LSF) yang ada di Tapah dan melihat keperluan untuk menambah kekuatan dari daerah lain.

Katanya, penugasan anggota juga akan disusun membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) khususnya pada hari penamaan calon dan pengundian.

“Ini bukan menunjukkan suasana tidak aman sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya