KUANTAN: Polis merampas sejumlah 275.476 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu bernilai RM8.8 juta di Kampung Sungai Mun di Lipis, dekat sini pada 6 Februari lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dadah itu ditemukan dalam kereta jenis Toyota Wish yang terlibat kemalangan langgar lari di Kampung Pagar Pasak dan dikejar orang awam sehingga ke Kampung Sungai Mun.
Katanya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut, polis menemukan plastik hitam yang di dalamnya mengandungi bungkusan-bungkusan plastik lut sinar berwarna coklat bertulisan cina dan berlabel ‘chrysanthemum tea’.
“Setelah diperiksa isi kandungan bungkusan bewarna coklat, dijumpai ketulan kristal yang disyaki merupakan dadah jenis syabu.
“Jumlah keseluruhan rampasan terdiri daripada 13 plastik berwarna hitam yang mengandungi 261 bungkusan plastik lutsinar. Setiap bungkusan plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu.
“Anggaran berat keseluruhan dadah yang dijumpai adalah berjumlah 275.476kg dengan nilai rampasan dadah berjumlah lebih RM8 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) di sini hari ini. – UTUSAN
Kapsyen
YAHAYA Othman (tiga dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu dalam sidang akhbar di IPK Pahang di Kuantan, Pahang. – UTUS/SHAIKH AHMAD RAZIF