PETALING JAYA: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan dua beradik yang dilaporkan hilang dari rumah mereka di Seri Kembangan dekat sini sejak malam, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai berhubung kehilangan Nur Syafiqah Elliana Muhammad Rizuan Sebastian, 15, dan adiknya, Muhammad Adam Mikhail, 10, pada 2.48 pagi, semalam.
“Kali terakhir mereka dilihat berada di rumah mereka di No. 2-03, Blok Mawar, Taman Harmoni 5, Jalan Harmoni, sebelum dilaporkan hilang.
“Nur Syafiqah mempunyai ketinggian kira-kira 140cm, berat 40kg, dan bertubuh kecil dengan rambut pendek. Kali terakhir dia dilihat memakai sweater berwarna gelap, seluar trek panjang gelap, dan selipar Crocs berwarna ungu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, adiknya, Muhammad Adam mempunyai ketinggian sekitar 135cm, berat 30kg, dan juga bertubuh kecil dengan rambut pendek.
Naazron meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mereka agar tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau Pegawai penyiasat, Sarjan B. Karunagaran boleh dihubungi di talian 012-2449414,” katanya. – UTUSAN