TELUK INTAN: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melakukan khianat dengan sengaja melanggar sebuah kereta sehingga mengalami kerosakan dalam kejadian di Taman Manggis, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 30 tahun pada pukul 4 petang.
Katanya, berdasarkan laporan, pengadu mendakwa telah diancam sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger ketika memandu keluar kereta dari rumahnya sekitar pukul 11 pagi.
“Ketika mangsa memandu keluar kereta jenis Honda Civic, sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan sengaja telah melanggar bahagian hadapan kereta lelaki itu sebanyak dua kali bagi menghentikannya.
“Pada pelanggaran kali kedua, kereta mangsa berjaya dihentikan dan pemandu pacuan empat roda itu cuba keluar dari kenderaan. Ketika itu, mangsa segera beredar dari lokasi kejadian untuk menyelamatkan diri seterusnya membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam pelanggaran itu bersama suspek berusia 42 tahun yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Katanya, berdasarkan siasatan, insiden tersebut mempunyai kaitan dengan laporan polis dibuat seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun pada 22 Oktober 2024.
“Dalam laporan itu, mangsa mendakwa telah menerima ugutan melalui helaian kertas yang disebarkan melalui udara menggunakan dron. Ugutan tersebut berpunca daripada masalah perniagaan antara keluarganya dengan suspek, lima tahun lalu.
“Lelaki warga emas dan mangsa dalam insiden pada Jumaat lalu itu merupakan rakan kongsi perniagaan. Siasatan bagi kes ugutan jenayah kedua-dua mangsa dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan bagi kes terbaru itu turut dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta benda dengan niat serta Rule 10 Peraturan-peraturan Polis (Prosedur Pendakwaan) 1959. – UTUSAN