JOHOR BAHRU: Polis memburu seorang lelaki yang juga suami kepada mangsa dalam insiden khianat dengan api ke atas sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau berhampiran sebuah hospital swasta di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan lelaki berkenaan dipercayai suspek dalam kes khianat itu yang turut tular di media sosial.
“Kami percaya lelaki yang sedang diburu terbabit dalam insiden ini adalah suami kepada wanita berkenaan. Difahamkan, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa selepas berlaku perselisihan faham dalam hal rumah tangga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi video tular berdurasi 28 saat itu memaparkan sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih milik seorang wanita berusia 21 tahun disimbah dengan petrol dan dibakar oleh seorang lelaki berusia 25 tahun.
Susulan kejadian pukul 10.20 malam itu, mangsa telah membuat laporan pada pukul 1.33 pagi tadi di Balai Polis Majidee, di sini.
Raub berkata, kejadian itu turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Suspek menyimbah petrol dan kemudian menyalakan api dan terus melarikan diri menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire. Kerosakan yang dialami mangsa membabitkan kerugian RM90,000, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – UTUSAN