IPOH: Polis sedang mengesan pemilik akaun media sosial Facebook yang menggunakan nama ‘Lebai Hafiz Fahmi’ kerana dipercayai memuat naik komen jelik dan berbaur penghinaan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, setakat ini, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan kes berkenaan.
Katanya, kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seskyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
“Pihak polis memberi penekanan kepada isu ini kerana ia melibatkan pemimpin tertinggi negeri. Jadi, kertas siasatan telah dibuka dan usaha menjejak suspek sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Pemuda UMNO Perak membuat laporan polis terhadap seorang individu dipercayai aktivis sebuah parti politik kerana memuat naik komen yang disifatkan biadab dan menghina Saarani.
Komen dalam Facebook itu dipercayai dihantar individu itu selepas tidak berpuas hati dengan kenyataan Saarani menerusi laporan berita bertajuk ‘JAIPk diminta siasat khatib tidak baca khutbah Jumaat disediakan’.
Individu terbabit telah meninggalkan komen berbunyi ‘ketua barua kafir harbi’ pada pautan berita berkenaan.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan berhubung laporan polis yang dibuat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.
Hasnul pada Selasa lalu, membuat laporan polis terhadap Pas Kawasan Gerik selepas dipercayai membuat tuduhan tidak berasas berkait teks khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Menurut Hasnul, seorang pemimpin parti itu mendakwa khutbah di Perak dikuasai kerajaan yang dikuasai DAP dalam satu rakaman video yang tular di media sosial. – UTUSAN