Polis bongkar makmal haram, lumpuhkan sindiket proses heroin

Polis bongkar makmal haram, lumpuhkan sindiket proses heroin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis heroin susulan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan dalam operasi berasingan di sekitar Pulau Pinang dan di Kulim, Kedah, kelmarin.

Selain menahan empat suspek yang berusia antara 24 hingga 37 tahun, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 11 kilogram (kg) bernilai RM105,600 dalam operasi selama sembilan jam bermula pukul 10 pagi itu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abdin berkata, dalam tangkapan pertama dilakukan di tepi jalan di George Town, seorang suspek lelaki berjaya ditahan bersama sebuah kenderaan yang mengandungi 4.5 kg heroin bernilai RM43,200.

“Hasil siasatan seterusnya membawa kepada serbuan kedua iaitu di sebuah pusat cucian kereta di Bayan Lepas yang membawa kepada rampasan 6.5 kg heroin bernilai RM62,400 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM105,600,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat risikan, polis kemudiannya menahan dua lelaki dan seorang wanita secara berasingan di beberapa lokasi di Kulim.

“Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses dadah di sebuah premis dan sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lepas,” katanya yang memberitahu, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh kira-kira 55,000 individu.

Sementara itu, Mohd. Alwi berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati, seorang daripada suspek positif dadah jenis THC (Tetrahydrocannabinol) manakala dua lagi suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 3 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, polis turut menyita barangan milik suspek termasuk dua buah kereta bernilai RM200,000 dan dua buah motosikal bernilai RM13,000 sekaligus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM318,600. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya