PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan menghalang beberapa pemimpin asing berjumpa dengannya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa.
Katanya, tiada mana-mana pemimpin luar negara yang ingin bertemu dengan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu.
“Jangan dilayan sangat, sebab pertamanya, pemimpin luar mana nak jumpa dia? Kalau nak jumpa pun apa masalahnya, kalau kawan dia dulu, nak kenal, nak jumpa, tidak ada.
“Yang baru-baru ini pemimpin Thailand, Jepun, Indonesia, Turkiye, tidak ada yang minta nak jumpa, kalau minta, tak akan saya nak kata jangan. Jumpalah, apa salahnya?,” katanya.
Baru-baru ini, Dr. Mahathir mendakwa Anwar menghalang beberapa pemimpin negara asing daripada bertemu dengannya.
“Ada pemimpin negara asing dari dua tiga buah negara minta nak jumpa saya, oh (Anwar kata) tak boleh jumpa.
“Pemimpin itu kawan saya, kenal dengan saya. Mereka datang ke Malaysia nak jumpalah dengan saya, (namun Anwar cakap) oh tak boleh. Jadi beliau yang potong semua hubungan,” dakwanya ketika ditemu bual dalam sebuah audio siar (podcast).
Anwar berkata, dakwaan dibuat Dr Mahathir itu tidak seharusnya dilayan.
“Hari-hari dia buat dakwaan, saya (Dr Mahathir) mana ada duit, (tapi) anak dia RM1 bilion lebih, itu bukan pertuduhan, itu pengakuan,” katanya.
Perdana Menteri merujuk kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang sebelum ini dilaporkan berkata, dua anak Dr. Mahathir memiliki harta bernilai lebih RM1.2 bilion.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia akan terus bersuara memperjuangkan isu rakyat Palestin yang sedang berdepan kezaliman Israel.
“Kita punyai pendirian dan ini sudah kita suarakan dengan tegas di merata tempat. Kita bukan memilih untuk memusuhi sesiapa tetapi mana sahaja bentuk kezaliman dan kekejaman, (mereka yang dizalimi) harus kita bela dan perjuangkan,” katanya. – UTUSAN