PM mahu sistem iPayment diperluas awal Mac

PM mahu sistem iPayment diperluas awal Mac

KAKITANGAN Kementerian Kewangan menunjukkan aplikasi iPAYMENT pada Majlis Peluncuran Sistem iPAYMENT di Kementerian Kewangan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) diperluas kepada seluruh kementerian dan jabatan pada awal Mac berbanding cadangan asal pada akhir April depan.

Perdana Menteri berkata, pembaharuan transformasi digital kerajaan ini bagi memudahkan rakyat mendapat manfaat tanpa lagi melalui kerenah birokrasi dalam mendapatkan perkhidmatan awam.

Beliau berkata, sistem ini membudayakan satu kaedah baharu, di mana rakyat diperkenalkan dengan pembayaran tanpa tunai.

“Semua pimpinan kementerian, ketua setiausaha, melaksanakan dengan sebaik mungkin, tetapi harus ingat bahawa ukuran akhirnya ialah bagaimana majoriti rakyat mengecapi manfaat pembaharuan reformasi

“Sebab itu saya sekali lagi menggesa supaya program iPayment ini dipercepatkan dari unjuran jadual akhir April kepada awal Mac,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan dan pelancaran iPayment di sini hari ini.

Anwar berkata, transformasi perkhidmatan kerajaan juga boleh dilihat dengan pelaksanaan sistem kod respons pantas (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh Jabatan Imigresen.

Katanya, inisiatif ini adalah langkah permulaan baik dan sangat menggalakkan bagi mengatasi kesesakan di lapanfan terbang walaupun belum diperluaskan kepada warga asing dan pelancong.

“Jadi sistem iPayment ini juga mampu menyelesaikan banyak masalah. Selalunya, apabila timbul isu dalam jabatan, alasan yang sering diberikan adalah kekurangan staf atau kemudahan.

“Namun, dengan pelaksanaan sistem yang cekap, kita dapat melihat bahawa cabaran utama sebenarnya bukanlah kekurangan sumber, tetapi kekurangan kebijaksanaan dalam memperkenalkan sistem yang telah diumumkan sebagai sebahagian daripada transformasi digital,” katanya.

Menurut kenyataan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), sistem iPayment merupakan sistem terimaan elektronik bersepadu yang dibangunkan bersama JANM selaras dengan usaha kerajaan ke arah mempercepatkan transformasi digital sektor awam ke arah komuniti tanpa tunai.

Ini disasarkan untuk digunakan di semua agensi Kerajaan Persekutuan yang masih belum mempunyai sistem terimaan elektronik kerajaan.

Sebelum ini, setiap agensi mempunyai sistem pembayaran masing-masing. Dengan pelaksanaan sistem ini, rakyat akan dapat membuat bayaran kepada kerajaan secara lebih mudah, selamat dan efisien melalui satu saluran pembayaran tanpa tunai yang diselaraskan.

Dengan sistem ini, pengguna juga dapat mengakses penyata pembayaran dan resit transaksi dengan lebih mudah.

iPayment boleh diakses melalui tiga saluran pembayaran iaitu portal, kaunter (point of sale) dan aplikasi mudah alih. Sistem ini memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran kepada kerajaan secara dalam talian dengan menggunakan mod pembayaran seperti kad debit, kad kredit, kad prabayar, perbankan internet (DuitNow Online Banking/Wallets), kod QR (DuitNow QR) dan juga e-dompet.

iPayment adalah inisiatif ePembayaran di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025.

Ia juga merupakan projek yang dipantau oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara di bawah inisiatif Pelaksanaan Pembayaran Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Secara Bersepadu.

Pelaksanaan sistem ini menunjukkan komitmen jitu untuk meningkatkan akauntabiliti terimaan kerajaan yang lebih telus dan selamat di peringkat digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya