JERLUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun diberi keutamaan dan disegerakan bagi membela nasib pesawah.
Perdana Menteri berkata, perkara itu penting memandangkan projek berkenaan memiliki kaitan cukup rapat dengan kehidupan serta pendapatan golongan pesawah.
Kata beliau, pada masa sama kerajaan negeri juga diminta agar mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi melancarkan projek tersebut.
“Saya beritahu semua jabatan dan agensi termasuk MADA supaya anggap ini sebagai projek utama dengan laporan setiap bulan perlu ikut jadual. Kalau boleh percepatkan kerana kita tak boleh nak bertolak ansur.
“Kalau tidak orang ‘lemas’ dengar tentang perkara ini. Benda dah umum tetapi tak jalan lagi dan apabila projek berjalan pula, buat sambil lewa. Kita bercakap tentang masalah pesawah dan ini amat berkaitan dengan masalah hidup mereka dalam mencari makan. Melambatkan projek ini bermakna membebankan orang,” katanya ketika merasmikan fasa satu projek itu di sini, hari ini.
Projek fasa satu itu menelan belanja RM1 bilion dengan tumpuan utamanya adalah untuk pembangunan dan penyelenggaraan 15 blok sistem pengairan tersier dan pembangunan projek pemulihan menyeluruh Empangan Pedu. Secara keseluruhan, projek itu menelan belanja RM5.376 bilion dengan pelaksanaannya dibuat secara berfasa.
Tambah beliau, negara beruntung kerana pelaburan berada di tahap tinggi manakala pertumbuhan ekonomi pula mencecah 5.1 peratus iaitu antara yang tertinggi di Asia.
Namun kata Perdana Menteri, perkara itu tidak bermakna sekiranya ada dalam kalangan masyarakat yang tertinggal daripada menikmati faedahnya termasuk dalam kalangan petani dan nelayan.
“Sebab itu setiap kali jumpa Sultan atau Menteri Besar, saya tak pernah lepas dari bercakap agar projek ini dipercepatkan. Bagi saya ini bukan soal perbezaan politik atau antara negeri dan Persekutuan sebaliknya apa yang perlu segera dilaksanakan, kita akan segerakan,” katanya.
Dalam pada itu kata beliau, tidak adil untuk mana-mana pihak menuduh kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk golongan pesawah sedangkan jumlah subsidi serta insentif kepada pesawah meningkat daripada RM2.4 bilion pada 2024 kepada RM2.6 bilion tahun ini.
“Sebanyak RM1.38 bilion disediakan sebagai subsidi bagi input pertanian, RM825 juta untuk penyediaan subsidi insentif output pertanian dan RM397 juta lagi untuk lain-lain insentif serta bantuan. Anggaran subsidi adalah sebanyak RM4,323 telah diberikan kepada setiap pesawah setiap musim untuk sehektar tanah. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding negara lain,” katanya. – UTUSAN