KUALA LUMPUR: Penggunaan pakaian seragam atau uniform loreng Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi peserta Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN) ditetapkan atas beberapa faktor utama, termasuk aspek kelulusan, keseragaman dengan negara lain serta penjimatan kos.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, kajian terhadap pelbagai program khidmat negara menunjukkan kebanyakan negara menggunakan pakaian celoreng tentera berbanding pakaian seragam alternatif.
Beliau berkata, keputusan itu telah dipersetujui di peringkat Tatakelola Dewan Kenegaraan yang dikendalikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Melalui kajian yang dilakukan terhadap program perkhidmatan negara di pelbagai negara lain, hampir semuanya menggunakan pakaian loreng tentera mereka sendiri.
“Tidak ada negara yang menggunakan pakaian selain daripada loreng tentera untuk program sebegini (PLKN 3.0),” katanya kepada pemberita selepas liputan Latihan Menembak Senjata Ringan, di sini hari ini.
Ya’cob berkata, pemakaian pakaian loreng Tentera Darat juga berdasarkan faktor ketahanan dan kesesuaian, kerana ia telah melalui pelbagai ujian, kajian serta penilaian sebelum digunakan.
“Jika kita mahu mereka bentuk pakaian baharu, prosesnya akan mengambil masa lebih lama dan kosnya jauh lebih tinggi. Sebaliknya, penggunaan pakaian yang sedia ada ini lebih praktikal dan menjimatkan,” katanya.
Ya’cob berkata, pakaian loreng Tentera Darat telah tersedia dalam sistem bekalan, sekali gus mengurangkan perbelanjaan tambahan.
Namun, pakaian tersebut tidak akan menjadi hak milik peserta dan perlu dipulangkan selepas tamat latihan.
“Mulai siri seterusnya, semua peserta PLKN akan menggunakan pakaian loreng Tentera Darat yang telah ditetapkan,” katanya.
Ya’cob berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai rasional penggunaan pakaian celoreng digital tentera oleh peserta PLKN 3.0 berbanding corak celoreng biru yang digunakan sebelum ini.
Pada 12 Januari, seramai 120 peserta mendaftar untuk siri pertama program PLKN 3.0 bagi tahun 2025.
Kumpulan sukarela itu terdiri daripada 80 lelaki dan 40 wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun, termasuk 13 individu yang mendaftar secara walk-in. – UTUSAN