PKR Perak sokong jawatan Presiden, Timbalan tidak ditandingi - Utusan Malaysia

PKR Perak sokong jawatan Presiden, Timbalan tidak ditandingi

MOHAMAD Hairul Amir Sabri (depan, empat dari kanan) menunjukkan poster Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Pejabat PKR Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: PKR Perak menyokong penuh keputusan kepimpinan sekiranya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung Mei ini.

Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, pihaknya akur dengan sebarang keputusan demi kestabilan parti yang menjadi tunjang kepada kerajaan Perpaduan.

Malah katanya, cadangan itu juga disifatkan baik dalam memastikan kelangsungan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya percaya PKR sentiasa memastikan demokrasi. Kalau kita lihat PKR merupakan parti yang memberi secara terus kepada ahli satu undi untuk setiap pimpinan dari peringkat cabang sehingga ke peringkat pusat.

“Namun kita faham, dalam keadaan kita menjadi kerajaan dan bagi memastikan kelangsungan kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Perpaduan, saya rasa ada perkara yang perlu dinilai bagi memastikan PKR sebagai tunjang utama kerajaan berada dalam keadaan baik,” katanya pada sidang akhbar Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Pejabat PKR Perak, di sini hari ini.

Menerusi laporan media sebelum ini, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin memaklumkan, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR diramal tidak akan dipertandingkan.

Menurut beliau, hal itu dijangka berlaku hasil rundingan dalaman parti tersebut supaya status quo Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Rafizi Ramli kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Jelasnya, ketika ini sedang berlangsung proses untuk mengadakan rundingan supaya jawatan-jawatan utama itu tidak dipertandingkan.

Sementara itu beliau berkata, Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri akan diadakan pada 17 Februari ini di Dewan Tokong Kuan Im, Kampung Baru Chui Chak, Langkap bermula pukul 7 malam.

Katanya, lebih 1,500 pengunjung dijangka hadir dengan pelbagai acara menarik disediakan yang menampilkan keunikan dan kekayaan warisan masyarakat Cina termasuk tarian singa, wusyu dan jamuan makan malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya