Pindaan Akta 711 dibentang Mac atau April - Azam Baki

Pindaan Akta 711 dibentang Mac atau April – Azam Baki

AZAM Baki melancarkan Stategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac atau April ini.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, ia tertakluk kepada keputusan kerajaan berhubung pindaan akta berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan pindaan itu dijangka memperkukuh perlindungan terhadap pemberi maklumat dan memastikan undang-undang yang lebih efektif dalam membanteras salah laku serta ketirisan dalam pentadbiran.

Dalam pada itu, berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat pula, Azam berkata, RUU itu akan dimuktamadkan pada suku kedua tahun ini sebelum dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.

“Manakala, RUU Sumbangan Politik pula dijangka dibentangkan tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, ketiga-tiga pindaan akta itu adalah komitmen SPRM sebagai agensi peneraju dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

Azam berkata, pihaknya akan memastikan pelaksanaan tadbir urus dan tatakelola yang baik dalam perkhidmatan awam dapat dilaksanakan secepat mungkin sebelum berakhir NACS pada 2028.

Pada 17 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) telah bersetuju supaya RUU Kebebasan Maklumat dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Manakala, pada 15 Oktober lalu pula, Anwar berkata parameter dasar baharu RUU Sumbangan Politik berada dalam pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat dan akan dimuktamadkan oleh JKPK sebelum dibentangkan di Kabinet.

Inisiatif untuk memperkenalkan undang-undang yang mengawal selia dana politik pernah diusahakan oleh kerajaan pada 2015 melalui penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), namun tidak terlaksana.

Selepas itu, cadangan kerangka perundangan bagi RUU itu juga pernah dikemukakan kerajaan kepada Parlimen pada November 2019 untuk dibentang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, namun hasrat itu juga tidak kesampaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya