Pinda segera Akta Kawalan Padi dan Beras 1994

Campur beras putih: Pinda segera Akta Kawalan Padi dan Beras 1994

MOHD. SHAZWAN SUBAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan perlu segera meminda Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil kepada pihak tidak bertanggungjawab mencampur­kan beras putih import dan tempatan sehingga menyaksikan bekalan beras tempatan tidak ada di pasaran sebelum ini.

Pada masa ini, tidak ada sebarang tindakan atau undang-undang yang boleh dikenakan terhadap perbuatan tersebut yang menyaksikan isu manipulasi berkenaan terus berlarutan.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, tindakan mencampurkan beras itu tidak boleh disifatkan sebagai jenayah kerana tidak ada satu peruntukan undang-undang me­ngenainya di dalam akta tersebut.

Katanya, Akta 522 itu perlu dipinda bagi mengelak penipuan tersebut terus berleluasa yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat berikutan ketiadaan bekalan beras tempatan.

“Isu berkenaan sering kali dibangkitkan namun tidak memberi sebarang kesan kerana tidak ada tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada pemborong atau peruncit ini.

“Gunakan ruang dalam sesi sidang Dewan Rakyat ketika ini bagi segera meminda akta tersebut kerana isu padi dan beras ini sangat penting yang perlu menjadi keutamaan dan diberikan perhatian dengan segera.

“Pindaan itu juga penting bagi meningkatkan penguatkuasaan ke atas pengilang, pemborong dan peruncit sekali gus membendung kegiatan menukar beras tempatan menjadi beras import,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akta 522 ketika ini tidak menyenaraikan kesalahan mencampurkan beras tempatan dengan beras import. Sebaliknya hanya menetapkan tujuh jenis kesalahan antaranya menyorok beras dengan tujuan mewujudkan kekurangan bekalan, menjual beras secara borong atau runcit tanpa lesen serta menjualnya melebihi harga kawalan.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 50 peratus beras putih import yang berada di pasaran negara ini telah dicampur dengan beras putih tempatan.

Perkara itu disahkan oleh Institut Pe­nyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui analisis yang dilakukan ke atas 5,000 sampel kampit beras import.

Dapatan ini sekali gus menjawab persoalan ke mana hilangnya beras putih tempatan di pasaran yang sudah berlarutan sejak dua tahun lalu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah mendedahkan kebanyak­kan kilang padi besar yang mempunyai pemborong sendiri didakwa telah lama mencampurkan beras tempatan dan import seterusnya menjual dengan harga beras import yang menjadi antara faktor ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran.

Sementara itu, Shazwan berkata, langkah kerajaan memper­kenalkan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26 bagi 10 kilogram (kg) diharap bakal mengembalikan beras tempatan di pasaran selepas sekian lama masalah itu berlarutan akibat tindakan mencampurkan beras ini.

Katanya, jumlah 24 juta kampit beras dalam tempoh enam bulan itu dianggarkan merangkumi 34 atau 36 peratus rakyat negara ini yang sekurang-kurangnya dapat membantu mereka mendapatkan beras tempatan.

“Bagaimanapun, kerajaan juga perlu memastikan beras subsidi itu sampai kepada rakyat Malaysia bukannya warga asing.

“Ia memerlukan satu meka­nisme yang betul bagi memastikan ia benar-benar sampai kepada golongan sasaran bukannya ada warga asing yang turut menikmati beras subsidi itu.

“Sudah lama rakyat Malaysia tidak merasai harga beras RM26 ini dan langkah tersebut diharap dapat membantu rakyat. Selepas ini, kita harap tidak ada lagi isu ketiadaan beras tempatan di pasaran,” katanya.

Seorang pesawah, Zaidi Nasir, 39, pula berkata, isu mencampurkan beras putih import dan tempatan seterusnya dijual pada harga import sememangnya berlaku dan akhirnya ia dibuktikan hasil analisis MARDI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya