KOTA KINABALU: “Pilihan bukan banyak, sama ada rakyat pilih Warisan sebagai pembangkang atau pilih UMNO yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar atau GRS,”.
Demikian kata Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai situasi dihadapi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bekas Speaker Dewan Rakyat ini berkata, rakyat sekarang bukan macam dulu kerana sekarang sudah ada media sosial, jadi mereka boleh membuat penilaian pemimpin mana yang boleh diketengahkan.
Katanya, menjelang PRN yang akan diadakan tahun ini, rakyat Sabah hanya boleh memilih Parti Warisan, UMNO dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Harus diingatkan kebanyakan pemimpin dalam kesemua parti itu adalah kawan yang sama-sama berada dalam UMNO suatu ketika dulu, jadi mereka mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA) yang sama.
“Jadi, jika pembangkang menyatakan GRS berpenyakit kurap, mereka juga mempunyai penyakit kurap kerana lahir daripada DNA sama.
“Namun, kita tidak tahu kurap siapa yang paling teruk jadi terpulang kepada rakyat untuk menilai, adalah lebih baik memilih GRS, setidak-tidaknya GRS mempunyai hala tuju perjuangan jelas dan ada matlamat untuk memajukan ekonomi Sabah,” katanya semasa Program Jelajah USNO Peduli Rakyat di Kampung Warisan Inanam semalam.
Katanya, kadang-kala rakyat tidak pandai untuk menilai antara kaca dan intan hanya kerana melihat isi yang terkandung dalam sampul surat yang diterima. isi sampul mana yang banyak, itu yang akan diundi.
“Sebab itulah apabila ada orang menyatakan jika kamu pilih pemimpin yang bodoh yang memilih itu sebenarnya lebih bodoh. Jadi, rakyat perlu buat keputusan sebaiknya dalam memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.
Pandikar Amin berkata, naratifnya rakyat sekarang masih menyokong GRS kerana berjaya memperoleh hasil mencecah RM7 bilion selain mendengar keluhan rakyat.
Justeru katanya, pemimpin GRS perlu turun ke lapangan bagi menjelaskan isu-isu rakyat seperti isu air.
“Jangan menafikan kritikan diberikan, sebaliknya bertindak menangani masalah dihadapi oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN