Pilih calon mampu teruskan legasi pembangunan Ishsam - Utusan Malaysia

Pilih calon mampu teruskan legasi pembangunan Ishsam

FAHMI AHMAD JAKHISI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning perlu menyambung legasi pembangunan yang dicetuskan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi, 42, berkata, Allahyarham Ishsam walaupun pertama kali menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu sejak terpilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, telah memainkan peranan yang cukup signifikan.

Katanya, jasa Allahyarham yang paling ketara ialah dengan menurap jalan raya di seluruh kawasan Ayer Kuning yang sebelum ini banyak mendapat rungutan daripada penduduk.

“Allahyarham walaupun merupakan wakil rakyat yang baru telah mengambil langkah segera menurap jalan bagi kemudahan rakyat Ayer Kuning.

“Selain itu, beliau juga meminta pihak terlibat untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lampu isyarat di pekan Ayer Kuning sebagai langkah keselamatan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Taman Bunga Raya di sini.

Katanya, semasa berlakunya gangguan bekalan air di Tapah baru-baru ini, Allahyarham Ishsam telah mengarahkan beberapa kenderaan pacuan empat roda dan lori tangki air ke lokasi-lokasi penduduk terjejas untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Allahyarham sanggup turun sehingga pukul 4 pagi bagi memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih tidak mengira taman perumahan, kampung dan rumah ibadat tanpa mengira kaum.

“Beliau berada di Ayer Kuning sepanjang masalah gangguan air sehingga selesai untuk menyantuni semua peringkat rakyat,” katanya.

Beliau berkata, calon BN khususnya UMNO pada PRK Ayer Kuning nanti perlu mengikuti jejak langkah Allahyarham Ishsam yang menjaga kebajikan rakyat dengan menempatkan kiosk bagi penjaja tepi jalan di lokasi yang lebih selesa dan selamat.

“Allahyarham menempatkan penjaja di kiosk yang lebih selesa untuk kemudahan mereka. Selain itu, beliau mendapat peruntukan kerajaan negeri untuk menaik taraf kemudahan tandas dan tempat mengambil wuduk di masjid-masjid di kawasannya.

“Jasanya terlalu banyak termasuk pembangunan sukan terutamanya bola sepak di kawasan Tapah ini,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu apabila tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan bola sepak.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya