Kewujudan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sangat penting dalam melengkapkan kepengurusan sesebuah sekolah. Sejarah telah membuktikan betapa PIBG bukanlah sekadar ‘pelengkap’ semata-mata kepada pihak sekolah, tetapi ia berperanan yang sangat diperlukan dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang lebih berdaya dinamik.
Malangnya, apa yang seringkali berlaku ialah PIBG dilihat ‘wujud’ ketika mesyuarat agung tahunan.
Itupun, kehadiran golongan ibu bapa sangat mengecewakan sekali. Hal ini satu hakikat di kebanyakan sekolah dan pihak pengurusan sekolah pun selalu mengeluh panjang dengan fenomena acuh tak acuh pihak ibu bapa dalam memperkasakan dan menyemarakkan aktiviti dalam PIBG.
Malah, maaf disebut di sini bahawa ada juga dalam satu satu mesyuarat agung untuk memilih AJK PIBG, ia telah menjadi satu kesulitan kerana kebanyakan ibu bapa yang hadir keberatan untuk dipilih. Semua situasi sebegini sebenarnya memberikan satu gambaran rasa mahu terlibat secara aktif masih terlalu nipis dalam kalangan ibu bapa.
Senario dalam kalangan AJK PIBG juga ada kalanya seperti ‘penempel’ sahaja dalam Jadual Organisasi PIBG tanpa adanya satu pemikiran idea baharu yang diketengahkan untuk menjadikan PIBG dapat muncul sebagai satu pergerakan yang prodinamik, antistatik sahaja.
Sebaliknya, apa yang jelas berlaku ialah PIBG sekadar memberikan sumbangan kepada sekolah dalam yuran tahunan yang dikumpulkan pada setiap pelajar sedangkan PIBG bukan sekadar bantu menyediakan dana kewangan, tetapi seharusnya mampu muncul sebaqgai pasukan penggerak dalam merancakkan aktiiviti sekolah.
Dalam pada itu, kita berasa begitu gembira apabila menyaksikan sudah banyak PIBG yang mula mengubah corak penglibatan ke arah yang lebih dinamik.
Misalnya, sudah ada PIBG di beberapa sekolah yang terlibat secara langsung membantu sekolah dalam menyediakan sarapan atau makanan untuk tengah hari kepada murid-murid atau calon-calon peperiksaan besar seperti SPM atau STPM misalnya.
Ini satu inisiatif positif yang seharusnya dicontohi oleh semua PIBG di semua sekolah.
Ingatlah, PIBG bukanlah pelengkap tetapi pemantap kepada usaha kemenjadian murid gemilang.
Keaktifan PIBG cerminan kecaknaan golongan ibu bapa untuk melihat anak-anak merdeka berjaya yang bukan sahaja dalam aspek akademik, juga hebat di segi sahsiah, kepemimpinan dan kokurikulum.
Mohd Rizal Azman Rifin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah.