RANTAU PANJANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis anak pokok yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta dalam dua serbuan berasingan di sini kelmarin.
Dalam serbuan itu, PGA turut menahan dua lelaki yang dipercayai bertindak sebagai penghantar bagi membantu siasatan berkaitan dengan rampasan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, serbuan pertama pada pukul 10 malam di Kampung Kedap itu membawa kepada rampasan 15,000 anak pokok durian belanda yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
“Kita turut menjumpai 400 anak pokok petai hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori tersebut. Selain itu, PGA turut menahan pemandu lori untuk membantu siasatan.
“Anggaran rampasan berjumlah RM912,000 dan kes disiasat dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, serbuan kedua pada pukul 10.20 malam pula membawa kepada rampasan lebih 1,000 anak pokok durian jenis duri hitam selepas menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Parit Air.
Katanya, turut ditemui 8,000 anak pokok laici dan 5,500 pokok longan yang dipercayai diseludup dari Thailand hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori tersebut.
“Tanaman ini disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit. Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM1.12 juta dan kes disiasat dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
“Selain itu kita turut menahan pemandu lori berusia 36 tahun yang dipercayai menjadi penghantar untuk membantu siasatan,” ujarnya.-UTUSAN