Petaling Street digempur, KPDN rampas barangan tiruan

Petaling Street digempur, KPDN rampas barangan tiruan bernilai RM360,000

ANGGOTA KPDN memeriksa barangan tiruan ketika Op Putra di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas pelbagai barangan disyaki tiruan bernilai kira-kira RM360,000 dalam operasi bersepadu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Putra di Jalan Petaling atau Petaling Street di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md. Anuar berkata, serbuan dilakukan selepas risikan selama lebih dua minggu bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan di kawasan berkenaan.

“Dalam operasi kali ini, sebanyak 20 premis termasuk lima stor diserbu dan berjaya merampas sekitar 5,500 unit barangan disyaki tiruan seperti jam tangan, beg, kasut, selipar, dompet, topi serta tali pinggang.

“Penjualan barangan tiruan di Jalan Petaling merupakan isu berulang dan sejak 2023, kawasan itu kembali disenaraikan dalam United States Trade Representative Report (USTR) sebagai salah satu lokasi utama penjualan barangan tiruan di dunia.

“Keadaan itu menjejaskan imej negara serta pelaburan pemilik cap dagangan antarabangsa, justeru tindakan diambil untuk mengeluarkan nama Jalan Petaling daripada senarai itu kerana ia akan menjejaskan pelaburan negara terutama membabitkan pemilik cap dagangan di serata dunia,”katanya ketika ditemui.

Tambah Nurul Syarina, memandangkan ia merupakan lokasi yang kerap kali dijalankan operasi, pihaknya juga akan menyemak rekod lampau dan melakukan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Daripada statistik hari ini, sebanyak 107 kes telah direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan dan Akta Cipta yang menjadikan nilai sitaan sebanyak RM1.8 juta sepanjang Op Putra sejak 2023 sehingga kini,” jelasnya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan denda sehingga RM15,000 bagi setiap unit barangan tiruan untuk syarikat dan RM10,000 bagi individu.

“Berdasarkan rekod, premis-premis yang terlibat dipercayai beroperasi dalam rangkaian sama yang kemungkinan dikendalikan oleh warga asing dengan  rakyat tempatan merupakan pemilik bangunan.

“Kita (KPDN) juga mendapati barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar negara sebelum disimpan di stor tertentu dan diedarkan kepada peniaga kecil di kawasan sekitar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN