KEMAMAN: Orang ramai mengambil peluang mengutip telur yang tercampak setelah lori yang membawanya terbabas dan terbalik dirempuh sebuah lagi lori di Kilometer 293.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2, selepas susur keluar Plaza Tol Chukai di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, pemandu lori dan kelindannya tidak mengalami kecederaan.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, banyak telur yang pecah dan orang ramai turut membawa bakul untuk mengutip telur bagi mengelakkan pembaziran.
Kelindan lori, Mohd. Izzat Izzudin, 25, berkata, lori yang dinaiki bersama rakannya terbabas ke kiri jalan dan terbalik selepas dirempuh sebuah lori barangan sejuk beku dari arah belakang ketika dalam perjalanan untuk menghantar bekalan telur dari Raub, Pahang ke Kuala Terengganu.
“Kami bawa bekalan telur kira-kira 2,500 papan dengan anggaran 78,000 biji. Pemilik syarikat izinkan telur ini diberikan kepada orang ramai kerana banyak juga telur yang rosak,” katanya ketika ditemui.
Penduduk Kampung Seberang Tayor, Mohd. Ariffin Othman, 66, berkata, dia bersama anaknya mengambil peluang mengutip telur yang jatuh di tepi lebuh raya berkenaan selepas video mengenai kejadian tular dalam laman sosial.
“Sebelum datang, saya sudah tanya orang ramai sama ada pemilik syarikat telur itu beri kebenaran untuk kutip atau sebaliknya. Kalau mereka tidak izinkan memang saya tidak datang kutip.
“Saya kutip banyak juga telur ini. Bolehlah digunakan untuk persiapan bulan Ramadan dan sebahagian lagi akan diagihkan kepada jiran-jiran. Sayang juga kalau tidak kutip telur sebab banyak telur yang masih elok walaupun perlu dipilih,” katanya.
Pengguna jalan raya, Azimah Aziz, 56, dari Kemasik berkata, dia yang melalui lebuh raya itu turut mengambil peluang mengutip telur untuk dibawa pulang.
“Pada awalnya saya tengok banyak kereta diparkir di tepi lebuh raya. Saya sangkakan kemalangan maut, namun bila tengok ramai orang kutip telur, saya turut sama sertai. Bagaikan rezeki terpijak, dapat juga bawa pulang telur untuk keluarga,” katanya. – UTUSAN