ARAU: Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2025 yang bermula Jumaat sehingga Ahad tetap diteruskan di sebalik kawasan bendang berlangsungnya pesta berkenaan di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang di sini berselut lumpur yang tebal.
Selut tebal atau ‘keleboq’ berikutan hujan lebat dalam tempoh kira-kira 30 minit petang kelmarin bagaimanapun tidak menjejaskan kemeriahan pesta ikonik negeri itu.
Selain lokasi asal, terdapat antara aktiviti bersempena pesta berkenaan turut akan diadakan di beberapa lokasi lain iaitu di Jan Cafe Sungai Batu Pahat, Yayasan Pok Dan Kassim, Pengkalan Asam, Dataran Lok 9, Kuala Perlis dan pekarangan kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebanyak 25 aktiviti diteruskan antaranya seperti bola jaring bendang, kenduri rakyat, mud challenge, arca jerami, pertandingan tangkap itik, belon udara panas, kayuh basikal atas titi, pameran lori berhias, pertunjukan wau helang Perlis, paramotor dan pelbagai lagi acara lain yang pastinya bakal menarik perhatian pengunjung.
Manakala aktiviti jualan membabitkan 170 lot niaga di kawasan itu pula terpaksa dibatalkan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, meskipun berlaku sedikit bencana berikutan hujan lebat petang kelmarin namun Pesta Angin Timur 2025 tetap akan diteruskan.
Katanya, bagaimanapun, bagi sesetengah aktiviti, ada yang akan diteruskan di lokasi asal dan selebihnya di kawasan-kawasan lain yang tetap akan berlangsung meriah.
“Kenduri rakyat juga kita teruskan di mana rakyat boleh hadir di tapak Lat Seribu ini bagi menikmati hidangan kurma daging yang disediakan secara gotong-royong ini,” katanya.-UTUSAN.