Pesawah terima peruntukkan tambahan RM30 juta

Pesawah terima peruntukkan tambahan RM30 juta

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Para pesawah menerima peruntukan tambahan RM30 juta sebagai antara usaha kerajaan membela nasib mereka.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan itu untuk menyokong usaha Kerajaan membela nasib pesawah miskin.

 

Katanya, kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat. 

 

“Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta  untuk menyokong usaha Kerajaan membela nasib pesawah miskin.

 

“Insya-Allah, kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebelum ini, kerajaan menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.

 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja dan racun serta impak kepada kos pengeluaran beras yang seterusnya memberi kesan kepada harga beras di pasaran.

 

Beliau turut memaklumkan harga beras putih tempatan dikekalkan pada RM2.60 sekilogram (kg) dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.

 

Mengulas lanjut, Anwar menyatakan penghargaan kepada Bernas yang telah bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela. 

 

Jelasnya, sebelum ini, Bernas telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin.

 

Pada 6 Disember 2022, Bernas menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin dan RM50 juta pada 2023 untuk kepentingan rakyat dan pesawah miskin termasuk di Kedah.

 

Menyentuh pengumuman harga lantai belian padi, Anwar berkata, ia adalah penyelarasan harga lantai belian padi kedua dilaksanakan Kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah. 

Katanya, kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada 2023 setelah hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada harga RM1,200.

 

“Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara,” katanya.

 

Kata Anwar, bagi memastikan penyelarasan harga lantai belian padi ini tidak menjejaskan rakyat, Kerajaan Madani memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi, sekali gus memastikan harga jualan maksima beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya