SEREMBAN: Seorang pesara dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 12 tahun, awal bulan ini.
Tertuduh, warga emas berusia 63 tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Februari lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang berusia 12 tahun pada 3 Februari lalu di tandas dan bilik tidur
sebuah rumah di Seremban 2.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa masing-masing dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan Sesyen 14(b) dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hukuman memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan mengugut mangsa sama untuk melakukan aktiviti yang bersifat seksual.
Kesalahan itu dilakukan pada 4 Februari lalu di lokasi rumah yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15B(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi memohon hukuman penjara dan sebatan yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kepentingan awam.
Nurul Balkis berkata, tertuduh sebagai bapa saudara kepada mangsa yang berusia 12 tahun tidak seharusnya mencari peluang melakukan jenayah seksual terhadapnya. – UTUSAN