KUALA LUMPUR: Peruntukan RM1 bilion telah diluluskan sebagai insentif untuk merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, peruntukan itu akan disalurkan disalur kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang akan dilancarkan akhir bulan ini.
“Usaha kita untuk meningkatkan produktiviti. Kita telah luluskan RM1 bilion untuk MADA ini yang kita akan luncurkan akhir bulan ini supaya kawasan sawah yang ada penambahan RM1 bilion itu boleh menjamin penambahan produktiviti.
“Sekurang-kurangnya usaha itu dapat memenuhi daripada sekitar 56 peratus keperluan tempatan sekarang kepada 70 peratus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang minta Perdana Menteri menyatakan apakah kerajaan bercadang untuk mengkaji semula dasar sedia ada iaitu penghasilan 70 peratus beras tempatan dan pengimportan 30 peratus beras luar untuk kegunaan rakyat di negara ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan turut memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi pada awal tahun lalu dengan peruntukan dana awal sebanyak RM50 juta.
Untuk Sabah dan Sarawak, Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan peruntukan lebih RM400 juta untuk menampung harga beras terlalu tinggi di negeri terbabit.
“Jadi untuk 2023 dan 2024, kita salurkan peruntukan khas kali pertama sebanyak RM420 juta di Sabah dan Sarawak untuk menampung dan menukarkan harga supaya tidak melambung terlalu tinggi,” katanya. – UTUSAN