JERLUN: Separuh daripada peruntukan berjumlah RM30 juta yang diberikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan disalurkan dalam masa terdekat kepada golongan pesawah bagi membantu mereka membuat persiapan Ramadan dan Syawal, tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membantu golongan pesawah membuat persiapan tersebut.
“Saya nak ucap terima kasih kepada Bernas khususnya Syed Mokhtar kerana apabila saya ambil alih jawatan Perdana Menteri, saya katakan padanya bahawa Bernas ini mencatat keuntungan dan daripada beri wang kepada parti politik, lebih baik beri kepada pesawah.
“Sebab itu dari tahun lepas, beliau beri RM50 juta. Tahun ini diberi lagi tambahan RM15 juta untuk pesawah gunakan buat persiapan Ramadan serta Aidilfitri.
“Saya harap dapat selesaikan sebelum Ramadan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di sini, hari ini.
Pada 13 Februari lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Syed Mokhtar melalui Bernas akan menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
Katanya, persetujuan itu dibuat Syed Mokhtar selepas beliau menghubungi tokoh korporat tersebut pada hari sama.
Tambahnya, beliau boleh sahaja meminta Syed Mokhtar membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti diamalkan parti-parti tertentu sebelum ini tetapi tidak berbuat demikian kerana mahu membela nasib pesawah.
“Ini cara kita. Kita ambil sikap gunakan wang korporat untuk politik tetapi untuk pesawah kerana Bernas ada kaitan secara langsung dengan pesawah,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau turut mengambil maklum mengenai keluhan petani berhubung isu benih dan baja yang dikatakan kurang berkualiti hingga memberi kesan kepada hasil padi.
Tegasnya, beliau mahu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat termasuk pesawah, bagi mencari penyelesaian berhubung perkara itu.
“Ada orang cadangkan agar gunakan benih padi yang digunakan di Sekinchan tetapi kajian dijalankan menyatakan, benih itu tidak sesuai untuk tanah di Kedah. Di Vietnam pun, benih digunakan di selatan negara itu tidak sama dengan benih ditanam di kawasan utara.
“Bab baja pula, memang diketahui baja dikeluarkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di kilang dekat Gurun itu bagus, namun seperti mana kita tahu, Nafas ini banyak masalahnya.
“Maka kita mahu masalah ini diselesaikan dan dalam masa sama, pihak kementerian adakan perbincangan dengan pesawah bagi mencari benih serta baja terbaik buat mereka,” katanya. – UTUSAN