MELAKA: Kerja-kerja baik pulih premis niaga Street Kitchen di Bangunan Stadthuys, Jalan Laksamana di sini yang mengalami kerosakan awal tahun ini masih tidak dapat dijalankan kerana peruntukan daripada Jabatan Warisan Negara belum diluluskan.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri perlu menunggu kelulusan tersebut kerana kerja-kerja pembaikan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya seperti bangunan lain.
Menurutnya, kerosakan bangunan bersejarah yang dipelihara serta dilindungi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Saya harap Jabatan Warisan Negara dapat meluluskan peruntukan yang dipohon oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi kita memulakan kerja-kerja baik pulih dengan kadar segera.
“Hendak baik pulih bangunan yang rosak itu tidak boleh sewenang-wenangnya kerana ia ada SOP daripada UNESCO tanpa merosakkan struktur premis itu serta menjamin aset warisan negara itu terus dipulihara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis makan malam sempena Persidangan Warisan Kebangsaan 2025 di sini, semalam.
Awal tahun ini, rasuk kayu premis niaga itu runtuh dipercayai ekoran gegaran disebabkan kapasiti kenderaan yang melalui jalan itu, khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.
Susulan itu, MBMB mengambil tindakan menutup premis berkenaan serta-merta dan melaporkan perkara itu kepada Jabatan Warisan Negara untuk dipanjangkan kepada UNESCO.
Tambah Rais, usaha kerajaan negeri memperkenalkan Zon Bebas Kenderaan (ZBK) adalah bertujuan menjaga struktur seluruh kawasan bersejarah berusia ratusan tahun.
Tegasnya, kenderaan yang memasuki kawasan itu dianggarkan berjumlah antara 27,000 hingga 30,000 sehari, lantas boleh menyebabkan kerosakan pada struktur bangunan merah akibat gegaran.
“Sepanjang Ramadan, ZBK akan terus dilaksanakan seperti biasa bermula dari Jumaat hingga Ahad dan sebarang perubahan, MBMB akan memaklumkan perkara tersebut,” ujarnya.-UTUSAN