SEREMBAN: Kerajaan sedang meneliti keperluan terhadap rangka kerja perundangan lebih ketat bagi memastikan ketelusan dalam pembiayaan politik dan mengelakkan penyalahgunaan dana.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, isu pendanaan politik merupakan perkara yang menjadi perhatian dalam usaha membanteras rasuah.
Tegasnya, politik wang boleh membawa kepada risiko penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
“Justeru penggubal undang-undang memainkan peranan penting dalam memastikan dasar lebih ketat dapat dilaksanakan bagi mengawal dana politik secara lebih telus dan berintegriti,” katanya pada sesi libat urus SPRM bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan di sini, semalam.
Sesi itu bertujuan memberikan penerangan mengenai dasar serta inisiatif kerajaan dalam memperkukuh governans dan integriti di peringkat negeri.
Tambah Azam, bagi memastikan pentadbiran kerajaan bersih dan efektif, SPRM menegaskan keperluan pematuhan kod etika oleh ahli politik serta tindakan proaktif dalam membendung ketirisan dana awam dan konflik kepentingan.
“Langkah ini penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan serta memastikan kesejahteraan negara terpelihara,”katanya.
Mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang baharu diumumkan, jelasnya, kedudukan dan skor negara masih sama dengan tahun sebelumnya, justeru banyak lagi usaha perlu dilaksanakan dan memerlukan komitmen semua pihak.
“Prestasi CPI Malaysia tahun ini dianggap sebagai satu cabaran kepada SPRM untuk melipat gandakan usaha dan komitmen mencapai tangga ke-25 dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN