KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang secara tidak sah, tahun lalu.
PPNP yang diwakili Bendaharinya, Wan Aidie Amin Wan A. Aziz membuat pengakuan terbabit ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut kertas pertuduhan, PPNP didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang di kordinat RSO (WMA 436197, WA 566952) serta RSO (WMA 436236, WA 566960) di Kampung Kawah, Mukim Hulu Kuantan, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit sekitar pukul 2 petang pada 18 Jun tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 suatu kesalahan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan juga boleh membawa kepada hukuman di bawah Seksyen 426C(3) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 iaitu suatu perintah untuk pelucuthakan benda itu hendaklah dibuat jika dibuktikan dengan memuaskan kepada mahkamah bahawa suatu kesalahan di bawah Seksyen 425 telah dilakukan dan bahawa benda itu adalah hal perkara atau digunakan dalam melakukan kesalahan itu.
Mahkamah memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 selain menetapkan 18 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN