KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memperhalusi cadangan untuk membuka penglibatan negara-negara luar dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk ASEAN (GCC).
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, katanya, Malaysia akan mempertimbang untuk membuka penyertaan kepada negara lain termasuk dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
“Kita sedang mempertimbangkan untuk melibatkan negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah pada sidang kemuncak ini.
“Namun fokus kita tentunya adalah negara-negara ASEAN dan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari lalu, kali kelima sejak penubuhan ASEAN pada 1967.
Malaysia sebelum ini pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UTUSAN