KOTA BHARU: Tindakan segelintir pihak mempertikai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu Gaza berlawanan dengan semangat Malaysia Madani yang menitikberatkan persaudaraan kemanusiaan.
Naib Angkatan Wanita Parti Amanah Nasional (Awan), Dr. Hafidzah Mustakim berkata, dalam hal itu Kerajaan Madani mengambil kira berhubung aspek saudara kemanusiaan selaras dengan ajaran Islam.
“Contohnya zakat, walaupun zakat fitrah individu itu sendiri menyumbang dan dapat membantu orang lain yang memerlukannya. Usaha Anwar adalah sangat prihatin dan menunjukkan semangat untuk membantu Gaza,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jom Ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Indera Petra, di sini hari ini.
Dr. Hafidzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Lama berkata, usaha kerajaan yang menyelaras dengan jabatan agama seluruh negara bagi tujuan itu sekali gus membentuk semangat kepedulian dan kemanusiaan.
“Perdana menteri kita mempunyai rangkaian di seluruh dunia dan usaha ini, beliau juga meminta Jepun untuk sama-sama membangunkan Gaza,”‘ katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Perdana Menteri membidas pihak yang memperlekehkan usaha Malaysia mahu membantu Gaza dan menyifatkan sikap sedemikian bukan cara Islam. – UTUSAN