GEORGE TOWN : Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengadakan beberapa pertemuan dua hala secara berasingan dalam usaha Malaysia untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan serantau ketika ini.
Antaranya termasuk pertemuan bersama dua rakan sejawatnya iaitu Menteri Pertahanan Brunei Darussalam, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi Haji Mohd Yussof dan Menteri Pertahanan Timor-Leste, Laksamana Muda Donaciano Do Rosario Da Costa Gomes.
Selain itu, Mohamed Khaled turut meluangkan masa untuk bertemu Timbalan Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN, Datuk Astanah Abdul Aziz bagi membincangkan perkara yang sama.
Jurucakap Kementerian Pertahanan memaklumkan, ketiga-tiga pertemuan itu diadakan sempena penganjuran sesi Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) 2025 di Batu Feringghi, di sini.
“Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha-usaha terkini melibatkan ASEAN dalam mengukuhkan kerjasama serantau, termasuk penglibatan bersama dalam misi pengaman seperti Malbatt (Pasukan Batalion Malaysia).
“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa platform seperti ADMM memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama pertahanan dalam kalangan negara anggota,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, pertemuan itu juga menjadi landasan strategik bagi membincangkan usaha bersama dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau serta langkah-langkah yang boleh diambil secara bersama.
“Pemukiman ADMM kali ke-19 ini dijangka terus mempererat hubungan pertahanan antara negara anggota ASEAN, selaras dengan komitmen bersama untuk memastikan keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.-UTUSAN