IPOH: Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang dijadual berkunjung ke Malaysia minggu depan adalah signifikan dalam usaha memulihkan Gaza.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin menyifatkan kedua-dua mereka adalah sahabat baik dan merupakan pemimpin yang lantang bersuara mewakili dunia Islam.
Katanya pertemuan itu tepat pada waktunya setelah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelan untuk mengambil alih semenanjung Gaza.
“Saya fikir ini adalah waktu yang sangat penting setelah Trump mengumumkan pelan yang pada saya tidak masuk akal.
“Saya percaya pertemuan antara kedua-dua pemimpin (Anwar dan Erdogan) utama dan besar ini yang juga sabahat lama, tentutnya akan memberi impak yang sangat signifikan terhadap ikhtiar masyarakat antarabgsa bagi mencari jalan untuk menjayakan pembangunan semula Gaza ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili Perdana Menteri untuk merasmikan majlis peluncuran Skim Rumah Ibu di sini hari ini.
Cadangan luar biasa Trump pada Selasa lalu itu bagaimanapun mengundang penolakan antarabangsa termasuk Malaysia dan Turki serta negara-negara Barat.
“Beberapa hari sebelum ini terdapat ketegasan antara Erdogan dengan pimpinan Jerman misalnya, yang menolak usul cadangan Trump itu.
“Sekarang Perdana Menteri dilihat sebagai seorang pemimpin yang mempunyai suara yang tegas di pentas antarabangsa, apatah lagi mewakili dunia Islam,” katanya lagi tentang Erdogan dan Anwar yang dijadual bertemu pada Isnin ini. – UTUSAN