Pertandingan dam aji asah kemahiran berfikir murid sekolah

Pertandingan dam aji asah kemahiran berfikir murid sekolah

SEBAHAGIAN peserta berentap dalam pertandingan dam aji peringkat sekolah rendah di Sekolah Bandar Jerantut, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENCANAI pemikiran pelajar bukan sahaja menerusi pengajaran dan pembelajaran dalami kelas malahan aktiviti melibatkan kokurikulum dan koakademik juga antara sebahagian usaha pihak sekolah untuk melahirkan insan yang cemerlang menerusi cara berfikir dan bertindak dengan positif.

Baru-baru ini, seramai 36 orang murid, iaitu terdiri daripada 18 orang lelaki dan 18 perempuan telah menyertai Pertandingan Dam Aji Peringkat Sekolah Rendah Daerah Jerantut di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut.

Pertandingan itu hanya terbuka untuk murid sekolah rendah merupakan anjuran bersama Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut (PKKDJ), Pejabat Pendidikan Daerah dan SK Bandar Jerantut yang menyediakan venue pertandingan berlangsung selama separuh hari itu.

Guru Besar SK Bandar Jerantut, Zulkifli Daud berkata, pertandingan dam aji julung kali diadakan di daerah ini melibatkan murid sekolah rendah cukup signifikan untuk mengasah minda pelajar bagaimana mencongak strategi untuk mencapai kemenangan menerusi permainan tersebut.

“Hal ini merupakan sebahagian tujuan aktiviti kokurikulum untuk menjana pemikiran yang cerdas, efektif serta mampu berdepan sesuatu cabaran kehidupan sekali gus galakan untuk mereka terus belajar dengan lebih cemerlang.

“Penganjuran bersama dengan PKKDJ dengan PPD Jerantut dan pihak sekolah ini mampu menghidupkan permainan tradisional itu ke arah menarik minat murid bermain dam aji pada waktu senggang,” katanya kepada Utusan Pelajar di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Setiausaha PKKDJ, Amir Hamzah Nordin berkata, usaha pertubuhan itu menghidupkan semula permainan dam aji yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu sebelum ini dengan mengadakan pertandingan tersebut bagi menyemai minat murid terhadap aktiviti tersebut.

“Sambutan amat menggalakkan daripada pihak sekolah dan kita akan terus merancang pertandingan ini dengan membabitkan semua pelajar rendah dan menengah pada masa akan datang.

“Kebanyakan peserta yang mengambil bahagian mempunyai bakat serta kemahiran bermain dam aji dan mengasah daya berfikir serta berdisiplin ketika masing-masing berdepan dengan lawan untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pertubuhan tersebut berterima kasih kepada PPD dan SK Bandar Jerantut kerana menyediakan venue pertandingan dan kemudahan lojistik untuk menjayakan pertandingan yang julung kali itu.

Johan dam aji kategori perempuan, murid Orang Asli etnik Jahut dari SK Sungai Kiol, Annanina Alan, 12, berkata, dia gembira kerana penyertaan pertama membuahkan hasil sekali gus menaikkan nama sekolahnya dalam aktiviti kokurikulum di daerah ini.

“Saya bermain dan berlatih dam aji di sekolah di bawah galakan serta tunjuk ajar guru selain kerap bersama rakan di rumah melakukan aktiviti ketika waktu lapang,” katanya.

Katanya, dia kerap melakukan latihan permainan itu untuk memperoleh kemahiran sehingga tidak langsung berdebar dan takut ketika berdepan lawan dari sekolah lain yang juga sangat mahir permainan itu.

Bagi johan peserta lelaki dari SK Felda Lepar Utara Satu, Ahmad Naqeeb Qhalef Mohd Najib, 12, berpandangan permainan dam aji banyak menguji kesabaran di samping kecekalan serta mahir menggunakan akal untuk ‘mencaturkan’ buah dam bagi mematikan langkah lawan.

“Inilah yang dikatakan kemahiran berfikir dalam permainan yang merupakan senjata mengalahkan lawan masing-masing dan sebenarnya melatih kita supaya lebih bersungguh ketika belajar,” katanya.

Ujarnya, dia membiasakan diri dengan kemahiran tersebut apabila kerap bermain dam aji dengan rakan semasa waktu lapang di sekolah di samping tunjuk ajar guru yang berpengalaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN