PETALING JAYA: Kira-kira 11 persatuan yang berkaitan rantaian bekalan minyak sawit Malaysia merayu agar kerajaan menilai semula keputusan mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing terutama dalam sektor minyak sawit.
Dalam satu kenyataan bersama, persatuan-persatuan tersebut menyuarakan kebimbangan mengenai impak keputusan tersebut terhadap kos operasi syarikat ladang dan kecekapan ekonomi sektor minyak sawit.
Katanya, caruman KWSP yang bakal dikenakan ke atas lebih 336,500 pekerja asing dalam sektor itu dijangka menambah kos tahunan sekitar RM137 juta, sekali gus membebankan syarikat-syarikat ladang bersaiz kecil dan sederhana.
Persatuan tersebut memohon kerajaan mempertimbangkan semula keputusan tersebut dengan mengambil kira faktor ekonomi dihadapi oleh industri yang bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja asing.
Katanya, ia melibatkan kerja-kerja ladang yang memerlukan tenaga buruh yang banyak.
“Walaupun caruman dua peratus ini mungkin kelihatan kecil tetapi dengan anggaran 336,500 pekerja asing yang terlibat dalam sektor ladang, jumlah keseluruhan kos perlu ditanggung industri adalah sangat signifikan.
“Kami bimbang kos tambahan ini akan membebankan syarikat ladang terutama dalam keadaan pasaran global tidak menentu dan peningkatan kos operasi,” kata kenyataan itu.
Selain itu, isu caruman KWSP bagi pekerja yang hanya berada di Malaysia untuk tempoh jangka pendek akan menjadi cabaran terutama dalam menguruskan proses pengeluaran simpanan KWSP apabila pekerja pulang ke negara asal mereka.
Katanya, majoriti pekerja asing di Malaysia hanya berada untuk tempoh dua hingga empat tahun dan caruman KWSP mungkin tidak relevan dengan keperluan kewangan mereka yang lebih tertumpu kepada penghantaran wang kepada keluarga di negara asal.
“Ini juga dikhuatiri akan menurunkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pekerjaan utama bagi pekerja asing.
“Memandangkan pekerja asing dalam sektor ini lebih mengutamakan penghantaran wang kepada keluarga mereka dan bekerja dalam tempoh yang singkat, pengurangan dalam gaji bersih mereka akibat caruman boleh menjadikan Malaysia kurang menarik sebagai pilihan pekerjaan,” jelas kenyataan itu.
Persatuan tersebut juga bimbang mengenai kesukaran yang akan dihadapi oleh pekerja asing untuk mengakses simpanan KWSP mereka setelah pulang ke negara asal.
Katanya, tanpa mekanisme pengeluaran yang jelas, ramai pekerja mungkin tidak dapat menuntut simpanan mereka yang menyebabkan ketidakpuasan di kalangan pekerja.
Kerajaan diharap akan meneruskan perbincangan dengan pihak industri bagi mencari jalan penyelesaian yang adil dan praktikal.
“Satu pendekatan lebih seimbang perlu diwujudkan untuk memastikan kelestarian sektor minyak sawit Malaysia tanpa membebankan pihak majikan dan pekerja asing,” katanya. – UTUSAN