Persaingan tidak seimbang hancurkan kilang padi bumiputera

Persaingan tidak seimbang ‘tewaskan’ pengilang padi, beras bumiputera

MARZUKHI Othman sayu mengunci pintu pagar kilang padi miliknya yang merupakan kilang padi bumiputera terbesar di negara ini apabila sudah tidak mampu lagi bertahan di Dibuk Sdn. Bhd, Kilometer 7, Jalan Simpang Empat, Kangar, Perlis baru-baru ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Utusan Malaysia mendedahkan mengenai kilang padi bumiputera terbesar negara bakal gulung tikar selepas 57 tahun beroperasi dan pelbagai kisah perit pesawah berikutan penurunan harga belian padi sehingga RM1,300, kebimbangan terhadap kelangsungan industri beras terus getir.

Isu tersebut juga semakin mendapat perhatian apabila hanya tujuh kilang bumiputera yang masih bertahan, dengan kebanyakannya dijangka gulung tikar dalam tempoh terdekat.

Situasi tersebut berpunca daripada persaingan tidak seimbang dengan kilang-kilang besar bukan bumiputera yang didakwa memanipulasi pasaran dengan menukar beras tempatan kepada beras import untuk mengaut keuntungan besar. 

Jika kerajaan tidak segera campur tangan, industri kilang padi bumiputera atau kilang Melayu ini bakal lenyap sepenuhnya, sekali gus memberi kesan buruk kepada ratusan ribu pesawah dan pengguna di negara ini.

Malah, pengilang-pengilang padi bumiputera ini mendakwa sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian yang dianggarkan mencecah sehingga RM900 juta setahun ekoran harga belian padi tinggi disebalik harga beras pula masih rendah.

Jalan penyelesaian kepada isu tersebut kerajaan perlu segera menetapkan harga beras pada gred tunggal dan dijual pada satu harga yang dikawal iaitu RM35 bagi berat 10 kilogram. 

Kenaikan harga beras itu sudah sepatutnya dilaksanakan selepas lebih 16 tahun tidak pernah disemak. Harga beras RM26 bagi berat 10 kilogram iaitu ketika harga belian padi sekitar RM950 per tan metrik pada masa itu.

Kenaikan harga itu bakal memberi situasi menang-menang kepada semua pihak sama ada pengilang, pesawah dan pengguna. Pengilang bakal kembali ‘bernyawa’, pesawah akan mendapatkan harga belian padi yang tinggi dan pengguna tidak lagi ditipu.

Ketika ini, pengguna tetap juga terpaksa membeli ‘beras tempatan’ yang dicampur de­ngan harga import pada harga yang lebih mahal antara RM38 hingga RM40. Beras RM26 sudah lebih dua tahun tidak kelihatan di pasaran. 

Selain itu, kerajaan juga perlu mendedahkan segera kartel-kartel yang menguasai industri beras ini. Hampir setahun kerajaan berjanji ingin mendedahkan isu berkenaan. Sehingga sekarang masih sunyi sepi.

Isu beras tempatan tidak di pasaran, kartel menguasai industri beras, dilema pesawah dan pengguna ditipu dengan campuran beras tersebut perlu diberi perhatian segera. Kerajaan tidak boleh tunggu lagi.

Tidak keterlaluan dikatakan industri padi sekarang berada pada titik paling rendah dengan pelbagai isu berbangkit kebelakangan ini. Kos tanaman meningkat, harga belian padi menurun, beras tempatan tiada di pasaran dan pelbagai lagi masalah lain membelenggu pesawah selain pengilang bumiputera terus tertekan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya