PUTRAJAYA: Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2025/2026 ke program pengajian tinggi melalui UPUOnline® akan dibuka mulai 10 Februari hingga 14 Mac ini bagi permohonan Fasa Pertama.
Permohonan itu melibatkan program asasi, sijil, diploma & ijazah sarjana muda di 20 universiti awam (UA), 36 politeknik, 106 kolej komuniti dan dua institusi daripada MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). permohonan bagi fasa kedua pula akan dibuka pada 14 April hingga 18 Mei depan.
Katanya, permohonan terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf bagi semua program pengajian untuk permohonan Fasa Pertama.
“Hanya program pengajian yang tidak bertemuduga dan/atau ujian dibuka pada permohonan fasa kedua.
“Pembelian Nombor Pin UPUOnline® boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN mulai Ahad ini sebelum mengemukakan permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPT berkata, BSN akan mengeluarkan Nombor Pin berserta salinan resit pembayaran dan pemohon diminta untuk memastikan slip pembayaran disimpan untuk rujukan sebagai bukti sah pembelian.
Jelasnya, semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
“Terdapat sebanyak 350 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan SPM dan 1,131 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan STPM/Setaraf oleh UA, politeknik, kolej komuniti dan MARA BPT seluruh negara,” katanya. – UTUSAN