Perlu labur dalam sistem pengimbas lebih canggih

Perlu labur dalam sistem pengimbas lebih canggih

SEBAHAGIAN daripada e-waste yang dirampas dalam serbuan tiga kilang di sekitar Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara ini terus menjadi sasaran utama lambakan bahan buangan terjadual atau sisa elektrik dan elektronik (e-waste) berikutan kelemahan penguatkuasaan undang-undang dalam pemantauan dan kawalan sempadan.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, pihak berkuasa telah merampas sisa elektronik haram bernilai RM3.8 bilion menerusi Op Hazard yang dikendalikan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Pegawai Penyelidik Alam Sekitar, Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4 Center), Nabila Syuhada Zulkeflee menyifatkan, situasi ini sebagai bukti Malaysia terus menjadi tapak pelupusan sisa elektronik negara maju.

Beliau berkata, kelemahan dalam penguatkuasaan telah membuka ruang kepada sindiket haram untuk beroperasi secara bebas.

“Situasi ini amat membimbangkan dan jelas menunjukkan kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang memberi ruang kepada sindiket haram untuk terus menjalankan operasi di negara ini.

“Isu ini berpunca daripada kelompongan sistem pemantauan import sisa pepejal, sekali gus membolehkan sindiket penyeludupan mengeksploitasi kelemahan kawalan di pelabuhan dan pusat pemeriksaan sempadan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selepas menjadi ‘tong sam­pah’ sisa plastik, Malaysia kini menjadi sasaran utama pembuangan e-waste yang diseludup secara haram ke negara ini.

Nabila menegaskan, sela­in kawalan sempadan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menge­tatkan garis panduan serta peraturan berkaitan pengeluaran lesen perniagaan, operasi kilang dan hak milik tanah.

Katanya, langkah itu penting bagi mengawal permintaan terhadap e-waste haram daripada kilang pemprosesan tidak berlesen.

Tambahnya, pemeriksaan kon­tena di pelabuhan oleh Kastam biasanya dilakukan secara rawak dan mustahil untuk setiap kontena diperiksa secara menyeluruh kerana kekangan tenaga kerja serta masa.

“Oleh itu, kerajaan disaran melabur dalam sistem pengimbas yang lebih canggih bagi meningkatkan kecekapan pemantauan di pelabuhan.

“Daripada sudut tadbir urus perdagangan sisa, pihak berkepentingan perlu bekerjasama untuk mengenal pasti kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan penyeludupan e-waste serta ke­seluruhan rantaian perdagangan haram.

“Ini termasuk pengangkutan sisa dari pelabuhan ke kilang pemprosesan serta proses pelupusan e-waste,” ujarnya.

Nabila berkata, risiko aktiviti rasuah dan salah guna kuasa dalam penyeludupan dan pemprosesan e-waste perlu diberi perhatian serius.

Beliau berkata, banyak kes melibatkan salah deklarasi e-waste dan pembukaan kilang haram membuktikan adanya penipuan serta kelemahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya