Perlu ingat PKR bukan lagi parti pembangkang – Shamsul Iskandar

Perlu ingat PKR bukan lagi parti pembangkang – Shamsul Iskandar

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pandangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR tidak dipertandingkan pada pemilihan parti Mei ini mengambil kira skop yang lebih luas demi kepenti­ngan parti yang kini menjadi tunggak kepada Kerajaan Perpaduan.

Menegaskan perkara itu, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, parti itu perlu lebih fokus kali ini dengan memperkemaskan jentera untuk menyediakan pasukan yang kuat bagi mendukung ke­pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai

Presiden parti dan Perdana Menteri, maka sebab itu pandangan beliau disifatkan re­levan untuk dilaksanakan.

Katanya, meskipun ia mendapat tentangan daripada beberapa pemimpin dalam PKR, namun jelas Shamsul elemen yang lebih penting kali ini adalah penyampaian kepada rakyat kerana perkara itu akan diukur oleh rakyat sebagai sebuah kerajaan yang lebih baik berbanding sebelum ini atau sebaliknya.

“Saya beri pandangan dari segi perspektif yang Keadilan harus memperkemaskan jentera sebuah parti untuk berikan khidmat dan fokus kepada rakyat. Keadilan bukan lagi parti pembangkang tetapi parti kerajaan yang jadi tunggak kepada Kerajaan Perpaduan. Jadi, sudah pasti jentera itu perlu meletakkan tumpuan kepada penyampaian (delivery), kerana setelah dipilih rakyat, kita mesti sampaikan dan jayakan agenda kita.

“Bila sebut soal pemilihan, kita akui pandangan dan kritikan dari rakan-rakan lain. Saya tentunya terbuka dengan kritikan seperti itu. Memang saya akui sejak Kea­dilan ditubuhkan, jawatan Timbalan Presiden tidak pernah tidak dipertandingkan. Saya pun tidak terkejut kawan lain suarakan kita mahukan pertandingan, tetapi saya lihat perspektif yang lebih luas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri turut berkata, pandangan dilontarkan itu bukan arahan dari sesiapa termasuk Perdana Menteri, namun lebih kepada mencari ‘formula’ untuk memperkemas jentera parti dan memperkukuh kedudukan parti dalam kerajaan hari ini.

“Saya orang lama dalam parti, antara yang menagasaskan parti, sudah menjadi Ketua Pemuda selama tiga penggal, Naib Presiden, onak dan duri perjalanan politik yang tajam ini sudah pasti ianya dizahirkan dalam konteks itu.

“Maka sebab itu saya kata parti perlu bekerja dengan lebih kuat dari segi penyampaian kepada rakyat supaya kita dapat menyediakan parti dengan lebih baik ketika berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Shamsul turut berkata, bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menilai pandangan tersebut berserta idea lain yang turut dilontarkan pemimpin PKR lain juga.

“Saya faham, mungkin ada yang sudah siap sedia untuk melawan Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden. Jadi, saya fikir itu pandangan yang diraikan dalam konteks yang sangat rencam. Keadilan itu demokrasi dan demokrasi itu bising, tetapi saya ingin ambil kesempatan agar kita perlukan disiplin yang baik dan sediakan pasukan yang mampu berikan dukungan kepada Presiden,” ujarnya.

PKR sebelum ini memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan, diadakan pada 24 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya