LUMUT: Lebih 1,500 nelayan pesisir pantai di daerah Manjung bakal kehilangan sumber pencarian jika projek perlombongan bijih timah dasar laut di pesisiran pantai hutan simpan Segari, dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu, Persatuan Nelayan Manjung Utara menggesa kerajaan negeri membatalkan atau menarik balik kelulusan yang diberikan terhadap sebuah syarikat bagi melaksanakan projek itu, akhir bulan lalu.
Ahli Lembaga Pengarah persatuan itu, Mohd. Faizal Mat Zin, 41, berkata, kawasan yang diberi kebenaran untuk aktiviti itu dari muara Sungai Batu hingga Tanjung Batu, hanya kira-kira 200 meter dari pesisiran pantai.
Katanya, kelulusan projek itu seperti dinyatakan dalam surat Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara bertarikh 31 Januari lalu, adalah sangat tidak munasabah kerana lokasi tersebut adalah kawasan tangkapan utama bagi nelayan pesisiran pantai, selain kawasan pembiakan bagi kebanyakan hidupan laut.
“Sejak kira-kira empat hari lalu, kami menyaksikan pemandangan yang mengerikan apabila kapal korek bagi projek itu mulai berlabuh di kawasan tersebut.
“Kami bimbang kesan langsung daripada kerosakan akibat aktiviti ini ialah impak sosio ekonomi nelayan Manjung Utara dan sebahagian Manjung Selatan melibatkan lebih 7,500 isi rumah,” katanya kepada pemberita di Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, dekat sini hari ini.
Beliau berkata, antara nelayan terjejas ialah dari Kampung Sungai Batu, Tebuk Yan, Segari, Pantai Remis, Pengkalan Baharu, Ujung Pasir, Matang Kerian, Sungai Tuntung, dan kampung lain berdekatan.
Katanya, pihaknya bimbang terhadap impak biologi daripada aktiviti itu merangkumi risiko kehilangan ekosistem marin, gangguan rantaian makanan hidupan laut, pencemaran air di pesisiran pantai dan peningkatan pemendakan dan kekeruhan.
Beliau memberi contoh, projek sama pernah dilaksanakan di kawasan perairan Teluk Mengkudu, Segari sekitar 2012 hingga 2014 menyebabkan tiada lagi hidupan laut di situ, sedangkan sebelum ini ia menjadi tumpuan nelayan pesisiran pantai.
Beliau juga merayu campurtangan pihak ibu pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membantu mereka dalam isu tersebut serta merayu Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, agar meneliti keluhan mereka secepat mungkin.
“Sekiranya perlu, pihak kami akan merafak sembah Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, untuk mengadukan resah gelisah kami rakyat marhaen dari kalangan nelayan yang amat kerdil ini,” katanya.
Sementara itu, pengusaha kerang dan sangkar ikan, Faizul Sofian, 48, menyuarakan kehairanannya bagaimana projek itu boleh diluluskan dengan cepat tidak sampai sebulan.
Beliau berkata, berdasarkan dokumen diperolehi, syarikat tersebut membuat permohonan pada 7 Januari lalu untuk melakukan perlombongan di kawasan perairan seluas 326 hektar itu dan diluluskan 24 hari kemudian. – UTUSAN