Perkasa nasyid sebagai medium dakwah - Utusan Malaysia

Perkasa nasyid sebagai medium dakwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suatu ketika dahulu, industri muzik nasyid begitu gah di persada seni hiburan tanah air. Bayangkan, pada era 90-an dahulu, lagu-lagu nasyid sering menjadi siulan setiap golongan masyarakat tanpa mengira peringkat umur.

Meskipun sekadar hiburan, elemen kerohanian, pesanan dan peringatan tetap disematkan dalam setiap bait lirik dan lagu nasyid. Alunan lirik yang indah juga secara tidak langsung menyentuh jiwa-jiwa pendengar menjadi lebih tenang.

Namun, kini industri muzik nasyid kian dilupakan bahkan fenomena itu sendiri semakin terkubur ditelan zaman selain sudah kurang menjadi ikutan.

Demi memperkasakan industri nasyid sebagai platform dakwah, stesen TV Alhijrah terus menunjukkan komitmen menerusi penganjuran Anugerah Carta 114 buat kali kedua di Studio AlHijrah, baru-baru ini.

Penganjuran acara itu diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada mengiktiraf karya-karya nasyid tempatan serta memberi ruang kepada pemuzik muzik Islam untuk berkembang.

Kata Ketua Pegawai Operasi TV Alhijrah, Nadzariah Mohamed, penganjuran anugerah ini merupakan usaha stesen televisyen tersebut dalam menyediakan wadah yang lebih kukuh bagi pemuzik Islam.
“Lirik dan bait kata dalam lagu-lagu nasyid mempunyai mesej mendidik jiwa serta menyampaikan kebaikan.

“Justeru, kami ingin memastikan masyarakat menerima kandungan muzik yang berkualiti dan membawa manfaat,” katanya.

Tambah Nadzariah, penganjuran anugerah ini juga menjadi usaha pihak TV Alhijrah untuk meletakkan muzik Islam sebaris dengan arus perdana.

“Tahun ini, kami melakukan beberapa penambahbaikan dengan memperkenalkan tiga kategori utama. Walaupun jumlah kategori dikurangkan, kami yakin impaknya lebih besar. Tahun lalu, kami memberikan lebih banyak kategori kerana ia adalah permulaan,” jelasnya.

TEMBUS ANTARABANGSA
Sementara itu, Nadzariah juga berhasrat untuk memperluaskan penyertaan ke peringkat antarabangsa menerusi kerjasama dengan penaja demi mencapai matlamat utama Anugerah Carta 114.

“Kami ingin terus menambah baik acara ini setiap tahun. Jika ada tajaan atau kolaborasi, kami terbuka untuk membawa masuk penyertaan dari luar negara. Kami mahu lebih ramai bakat baharu muncul dan memastikan industri nasyid terus berkembang.

“TV Alhijrah berpegang kepada tagline ‘Menyatupadukan Ummah dengan Ilmu’. Ilmu itu bukan hanya melalui ceramah, tetapi juga menerusi muzik. Nasyid dan muzik Islam lebih dekat dengan nilai ketuhanan dan berfungsi sebagai medium dakwah yang signifikan,” ujarnya.

Hasil usaha penganjuran acara itu, kumpulan nasyid, UNIC yang membawakan lagu Sirih Pulang Ke Gagang berjaya memenangi anugerah Lagu Terbaik serta membawa pulang hadiah utama sebanyak RM20,000.

Menurut anggota UNIC, Fitri Haris, mereka tidak menyangka akan memenangi kategori tersebut, lebih-lebih lagi kerana mereka hanya sempat berlatih secara berasingan sebelum acara berlangsung.

“Kami pertama kali bersatu di pentas kerana sebelum ini masing-masing ada komitmen lain. Latihan pun dibuat secara berasingan, malah sempat berlatih dalam kereta sahaja.

“Namun, ini adalah bukti keserasian kami selepas 23 tahun dalam industri. Walaupun ada perubahan, semangat perjuangan kami tetap sama,” katanya.

Selain hadiah utama, kemenangan itu juga membolehkan kumpulan yang dianggotai Fitri, Bazli dan Fakhrul berjaya membawa pulang Anugerah Vokal Terbaik dan wang tunai RM10,000.

Bukan itu sahaja, kumpulan Darwish juga menerima Anugerah Persembahan Terbaik serta membawa pulang wang tunai RM10,000 menerusi lagu Abu Ubaidah ciptaan sepenuhnya Faiz Darwish.

Selain Unic dan Darwish, Kumpulan Rabithah, Kumpulan Madinah, Haadi, Idris Shamsuddin, dan duo Halim Ahmad dan Aiman Sidek juga turut berentap di pentas Anugerah Carta 114.

Acara tersebut telah dijurikan oleh tiga barisan juri yang diketuai Farihin Abd Fatah, Amran Omar dan Razin Mestica.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya