KOTA BHARU: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) perlu diperhalusi dan sepatutnya lebih banyak pihak dilibatkan dalam perbincangan bagi mendapatkan pandangan meluas.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, akta tersebut merentasi lebih lapan RUU sedia ada termasuk berkaitan strata dan pemilikan tanah.
“Akta URA ini bukan sekadar melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana perkara berkaitan tanah adalah bidang kuasa Pengarah Tanah dan Galian (PTG) di peringkat negeri dan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG) di peringkat pusat.
“Perkara berkaitan pemilikan tanah di peringkat negeri pula adalah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing. KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) cuma ada kuasa untuk menyediakan rumah serta penempatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini, semalam.
Tuan Ibrahim berkata, taklimat berkaitan Akta URA diberikan di Parlimen bersekali taklimat pengurusan e-waste menyebabkan maklumat mengenainya tidak disampaikan secara terperinci.
Katanya, Akta URA perlukan sesi taklimat lebih terbuka kerana terlalu banyak isu yang perlu diperhalusi, tambahan banyak perkara dibangkitkan di Parlimen gagal dijawab secara sempurna oleh menteri berkenaan.
“Apa yang dipertikai adalah pembangunan melalui Akta URA menyebabkan penduduk yang mendiami suatu penempatan di bandar terpaksa berpindah keluar dan bangunan kediaman diambil untuk dibuat pembangunan baharu.
“Apabila dinaikkan bangunan baharu, apakah penduduk berkenaan mampu membeli? Dahulu bolehlah dia beli pada harga RM200,000 hingga RM300,000 melalui pinjaman 20 hingga 30 tahun.
Kini usia masing-masing sudah 50 hingga 60 tahun dan tentunya tidak mampu membeli rumah dengan harga RM500,000 hingga RM600,000,” katanya.
Menurut beliau, cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar penghuni asal membuat pinjaman jika tidak mampu membeli rumah baru dibina juga tidak boleh diterima kerana mengikat mereka dengan hutang berpanjangan.
“Mereka juga perlu menanggung kos penyelenggaraan RM500 hingga RM600 pada kadar minimum setiap bulan. Sudah tentu membebankan dan mereka pasti tidak mampu. Itu merupakan isu akhir yang kita bimbangi.
“Kita bimbang jika pada akhirnya kawasan bandar menjadi kawasan tidak ideal untuk didiami seperti Tokyo (Jepun) dan beberapa bandar di Eropah. Kesudahannya rakyat kurang mampu terpinggir jauh di luar bandar dan kawasan bandar hanya dikuasai golongan kaya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Alias Ramel berkata, RUU Pembaharuan Semula Bandar bukan “akta rampas rumah” untuk mengambil alih hartanah pemilik sewenang-wenangnya.
Sebaliknya, kata beliau, RUU itu bertujuan menangani isu bangunan usang, khasnya di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru serta Pulau Pinang bagi memastikan pembangunan semula dilaksanakan secara adil, memanfaatkan pemilik hartanah serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita tidak boleh membiarkan bangunan berusia lebih 30 atau 50 tahun dalam keadaan usang di tengah bandar. Oleh itu, KPKT melalui PLANMalaysia sedang merangka perundangan khusus untuk pembaharuan semula bandar.
“Matlamat utama ialah memastikan pembangunan semula bandar dilakukan dengan persetujuan pemilik serta memberi nilai tambah kepada hartanah mereka,” katanya, – UTUSAN