KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masyarakat menyelami aspirasi Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berhubung aspek perbezaan budaya dan agama di negara ini.
Katanya, perbezaan sebenarnya mampu menyuntik kekuatan walaupun aspek itu kadangkala diambil kesempatan oleh pihak tertentu sebagai simbol melemahkan serta menanam kebencian.
“Tunku dari awal meyakini kepelbagaian itu sebagai simbol kekuatan sehingga Jata Negara dipilih Bersekutu Bertambah Mutu.
“Lihat sahaja pelbagai budaya di negara ini kerana tidak banyak negara di dunia yang mempunyai rasa bangga seperti kita.
“(Malaysia) Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi, Bahasa Inggeris sebagai Bahasa kedua serta penggunaan Bahasa Mandarin, Tamil dan bahasa suku kaum lain. Kerencaman itu adalah kekuatan,” katanya pada Majlis Mengenang Perdana Menteri Pertama di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Anwar menegaskan tanggungjawab generasi muda pada hari ini dalam memaknai erti kemerdekaan supaya negara tertegak atas prinsip dan landasan yang betul.
Jelasnya, prinsip itu perlu diwarnai dengan semangat perpaduan dalam mengangkat martabat negara yang penuh kemajmukan.
“Memorial yang ada pada hari ini bukan sahaja menjadi tempat untuk generasi muda mengimbau rentetan sejarah, tetapi sebaliknya menjadi lokasi untuk mendidik dan memberi pencerahan mengenai erti perjuangan, pengorbanan, perpaduan dan cita-cita membina negara bangsa,” katanya.
Terdahulu, majlis tersebut disempurnakan oleh Anwar sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangan Tunku Abdul Rahman dalam perjuangan kemerdekaan serta pembangunan negara.
Program itu dianjurkan bagi menyebarluaskan maklumat sejarah serta legasi kepemimpinan Tunku Abdul Rahman dalam membentuk perpaduan, membangunkan ekonomi negara dan memperjuangkan kemerdekaan Malaysia.
Selaras dengan gagasan Kerajaan Madani yang menekankan kesejahteraan, keadilan sosial dan keterangkuman, nilai-nilai kepemimpinan Almarhum dilihat terus relevan dalam usaha membina negara yang harmoni dan progresif.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut melawat pameran khas di Memorial Tunku Abdul Rahman yang menempatkan pelbagai bahan sejarah negara, termasuk Pejabat Perdana Menteri pertama, Meja Pengisytiharan Kemerdekaan 1957 dan Meja Pemasyhuran Malaysia 1963.
Memorial yang dibuka secara rasmi pada 10 November 1994 itu memaparkan dokumen, gambar, hadiah, keratan akhbar serta barangan peribadi Almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai penghormatan kepada Bapa Kemerdekaan Malaysia. – UTUSAN