PORT DICKSON: Satu perangkap dengan umpan seekor ayam dipasang, di sini, hari ini, bagi menangkap buaya tembaga yang dipercayai sesat di Pantai Cermin sejak Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, sebelum ini, pihaknya ada menerima aduan kehadiran buaya di kawasan pantai berhampiran iaitu Pantai Tanjung Biru pada hujung tahun lalu.
Katanya, pihaknya mengesyaki buaya di pantai tersebut merupakan buaya yang sama kelihatan di Pantai Tanjung Biru dan berharap agar perangkap dipasang berhasil memandangkan kehadiran reptilia tersebut menimbulkan kegusaran awam.
“Kita syak buaya yang sama hujung tahun lepas, jadi berlarutan awal tahun. Mungkin dia (buaya) main kawasan sini. Buaya ni ada ‘territory’ dan biasanya akan patah balik ke kawasannya.
“Kita juga mengesyaki buaya ini tersesat dari Sungai Linggi berikutan lokasi berkenaan merupakan habitat buaya dengan jarak sekitar 10 kilometer. Kemungkinan lain seperti buaya ini sakit atau sebagainya hanya boleh diketahui selepas buaya itu ditangkap.
“Malah, pemantauan kita di kawasan bakau berhampiran Pantai Cermin ini tidak menemui sebarang kesan sarang atau “port” reptilia ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Cermin, di sini, hari ini.
Sabtu lalu media melaporkan Perhilitan Negeri Sembilan menerima aduan awam membabitkan seekor buaya di kawasan Monkey Bay kira-kira pukul 4.30 petang.
Anggaran panjang buaya adalah kurang dari dua meter dan bergerak sejauh 50 meter, selain kekerapan buaya timbul selang 10 ke 20 minit selama seminit.
Dalam pada itu, Faizal Izham ketika ditanya mengenai cadangan orang awam untuk memasang papan tanda amaran kehadiran buaya menegaskan tindakan itu hanya akan menimbulkan kegusaran awam, sedangkan kawasan pantai tersebut bukan lah merupakan habitat buaya.
“Dalam setahun boleh dikatakan satu aduan sahaja dan memang bukan tempat buaya. Buaya ini sesat, tersasar dari laluan balik ke habitatnya. Kalau kita pasang takut jadi kegusaran awam. Bagaimanapun, kes terpencil ini kita akan ambil tindakan segera,” katanya.
Untuk rekod, pada 13 Januari 2022, bangkai seekor buaya tembaga matang jantan sepanjang dua meter dan seberat kira-kira 100 kilogram (kg) ditemukan di Pantai Cermin. Buaya itu dianggarkan sudah mati satu atau dua hari sebelumnya.– UTUSAN