IPOH: Kerajaan negeri akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penjualan barang atau makanan ‘tidak sesuai’ di sekitar kawasan sekolah susulan insiden murid Tahun Empat meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, bagi melaksanakan usaha itu, pihaknya akan menjalin kerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JKN).
Katanya, pemantauan dan penguatkuasan itu akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan keselamatan murid terjamin.
“Kerajaan negeri menyambut baik saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya ada kerjasama yang lebih rapat antara PBT dan JPN untuk menjalankan pemantauan.
“Setakat ini, memang kita buat pemantauan atau penguatkuasaan di kawasan sekolah dari semasa ke semasa kerana mungkin ada pihak yang berniaga di tempat yang tidak sesuai selain barang yang dijual itu ikut peraturan atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius insiden yang berlaku terhadap Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Susulan kes ini, kita ambil perhatian khususnya di kawasan sekolah bagi memastikan kalau ada aktiviti yang tidak sesuai dan mungkin bawa isu kepada keselamatan lalu lintas dan jual barang yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.
“Tindakan akan diambil mengikut undang-undang dan peraturan yang ada,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dilaporkan berkata, KPM akan memantau dengan ketat isu penjaja dan peniaga kecil di luar premis sekolah susulan insiden yang berlaku terhadap mangsa.
Menurut beliau, berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), penjaja tidak dibenarkan melakukan aktiviti penjualan dalam radius 40 meter dari pagar sekolah.
Dalam kejadian Selasa lalu, Mohamad Fahmi Hafiz dilaporkan mengalami kesukaran bernafas selepas tersedak ketika mengunyah gula-gula tersebut dan berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi. – UTUSAN