Perak mahu terajui ekonomi berasaskan maritim - Utusan Malaysia

Perak mahu terajui ekonomi berasaskan maritim

SAARANI Mohamad melawat pameran pada Majlis Peluncuran Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak di Lumut hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Perak berhasrat menjadi peneraju ekonomi biru di negara ini dengan cara mengoptimumkan kekayaan sumber alam khususnya maritim yang terdapat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata dengan kekayaan sumber sedia ada, Perak berpotensi besar dalam meneraju sektor perikanan, pelancongan maritim, tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi marin.

Katanya, menerusi pelaksanaan yang tuntas, Perak bersedia menjadi peneraju ekonomi biru sambil memastikan kemakmuran ekonomi seiring dengan kelestarian sumber alam demi kesejahteraan rakyat.

“Sektor perikanan terus menjadi pemacu utama ekonomi biru negeri ini apabila menyumbang 22.8 peratus daripada pengeluaran perikanan negara tahun lalu, dengan nilai pendaratan ikan laut mencecah RM2.53 bilion.

“Negeri ini juga merupakan pengeluar utama kerang di Malaysia, dengan hasil sebanyak 14,500 tan metrik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus memperkasa industri maritim menerusi pelaksanaan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) serta memperkukuh pelancongan maritim dengan menjadikan Manjung sebagai Hab Maritim Nusantara dan Bagan Datuk sebagai pusat agropelancongan dan maritim.

Sementara, destinasi pelancongan utama seperti Pulau Pangkor, Hutan Royal Belum dan Taman Paya Laut Kuala Sepetang akan terus diperkukuh sebagai tarikan pelancong.

Katanya, dalam usaha mempelbagaikan portfolio ekonomi biru, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada tenaga boleh diperbaharui, termasuk projek solar terapung dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta pembangunan tiga stesen janakuasa hidroelektrik kecil berkapasiti 29 megawatt (MW).

Selain itu, kerajaan negeri komited dalam pemuliharaan alam sekitar, termasuk pemulihan terumbu karang di Kepulauan Sembilan, pembangunan semula Hutan Simpan Kuala Gula, dan penggubalan Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) bagi memperkukuh pengurusan sumber air.

Terdahulu, dalam ucapannya, Saarani berkata, Perak mempunyai kelebihan strategik yang harus dimanfaatkan.

“Dengan pantai sepanjang 397.5 kilometer (km), 32 pulau kecil yang kaya dengan biodiversiti, Sungai Perak sepanjang 400 km serta 42,700 hektar hutan paya bakau, negeri ini berada dalam kedudukan yang amat baik untuk muncul sebagai peneraju ekonomi biru di Malaysia.

“Hakikat ini terbukti apabila perikanan menjadi pemacu utama ekonomi biru negeri dengan jumlah pendaratan hasil laut mencecah 407,000 tan metrik bernilai RM2.53 bilion,” katanya.

Beliau juga berkata, pelaksanaan ekonomi biru di Perak tidak hanya membabitkan pembangunan infrastruktur dan penghasilan kekayaan.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah transformasi menyeluruh yang akan memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat, terutama komuniti pesisir pantai dan penduduk di sepanjang laluan sungai dan laut di Perak.

Berdasarkan unjuran terkini, seramai 253,000 penduduk akan mendiami zon pesisiran pantai menjelang 2030, dan angka itu dijangka meningkat kepada 270,000 pada 2040.

“Pertumbuhan ini menunjukkan betapa pentingnya kita merancang pembangunan ekonomi biru dengan teliti untuk memastikan kesejahteraan komuniti ini terus terjamin,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya